SETIU: Seorang warga emas maut tidak sempat makan di sebuah restoran setelah motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta ketika menyeberangi jalan di Kilometer 54, Chalok Kedai, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintenden Burhanuddin Mustafa berkata, dalam kejadian pukul 5.10 petang itu, Mamat Abas, 71, maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Sementara itu, menurutnya, anak mangsa, Ruslan Mamat, 14, yang membonceng motosikal terlibat hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian badan.
“Ketika kejadian, mangsa bersama anaknya yang menunggang motosikal jenis SYM dalam perjalanan dari rumah di Kampung Bukit Layat ke Restoran Nasi Ulam D’nora manakala manakala Proton Saga FL dalam perjalanan dari Stesen Minyak Shell Setiu ke rumahnya di Felda Chalok Barat.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa berada di kaki lima jalan dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu untuk melintas ke seberang jalan telah dilanggar oleh Proton Saga FL yang juga dari arah sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Burhanuddin berkata, mangsa, Mamat Abas yang cedera dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut, sebelum disahkan meninggal dunia. – UTUSAN










