PETALING JAYA: Pergolakan yang berlaku di Gaza yang sudah melebihi enam bulan hanya dapat ditamatkan sekiranya Amerika Syarikat (AS) memberikan tekanan lebih agresif terhadap Israel namun tindakan tersebut dilihat amat sukar untuk dicapai.
Walaupun mendapat tekanan berterusan daripada masyarakat antarbangsa bahkan rakyat sendiri, AS dilihat tidak mengubah pendiriannya terhadap Israel malah meneruskan penghantaran dana kepada negara Zionis tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, hanya satu perkara sahaja dapat menukar pendirian Rumah Putih terhadap Israel iaitu tekanan politik dalamannya sendiri.
Menurutnya, tekanan politik dalaman menjelang pemilihan Presiden AS pada November ini akan dapat mengubah pendirian ‘Uncle Sam’ dalam isu membabitkan sokongannya terhadap Israel.
“Ada beberapa tekanan politik dalaman mula dilihat sebagai contoh di Michigan, AS, apabila penyokong Demokrat daripada keturunan Arab-Amerika dan golongan berusia 40 tahun ke bawah memberi gambaran bahawa mereka tidak akan menyokong Joe Biden dalam pemilihan Presiden kerana dasarnya terhadap Israel.
“Kini, penuntut universiti ternama di AS bermula dari Universiti Columbia melakukan demonstrasi menyokong Palestin. Mereka ini bukan daripada golongan Arab-Amerika sahaja bahkan rata-rata berusia bawah 30 tahun.
“Ini sedikit sebanyak memberi tekanan politik secara dalaman terhadap pentadbiran Rumah Putih,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas tindakan Malaysia menggunakan pentas antarabangsa bagi mengkritik tindakan kejam Israel terhadap Palestin, Azmi berkata, perkara itu masih tidak cukup untuk menghentikan perang di Gaza.
“Boleh kritik di pentas antarabangsa atau melalui tindakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) namun masih tidak cukup.
“Walaupun AS kelihatan berseorangan menyokong Israel, perkara itu perlu kerana sokongan Israel adalah kriteria penting untuk menang pemilihan Presiden,” katanya.
Tambahnya, usaha masyarakat antarabangsa memboikot barangan AS untuk memberikan tekanan ekonomi kepadanya tidak memberi kesan signifikan memandangkan negara tersebut terlampau besar menjadikan inisiatif berkenaan tidak efektif.
“Tidak dinafikan memboikot secara dalaman di AS itu berkesan tetapi dalam hal Palestin ini, ia memerlukan sokongan majoriti rakyat AS itu sendiri tetapi perkara tersebut amat sukar untuk dilakukan,” katanya. – UTUSAN
Sebahagian pelajar Universiti Columbia, New York mengadakan demonstrasi mendesak kerajaan Amerika Syarikat menyokong usaha pembebasan Palestin daripada kekejaman Zionis Israel.- AFP










