HULU SELANGOR: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut menegaskan beliau tidak ada berhutang dengan ah long.
Sebaliknya menjelaskan hal tersebut sebagai fitnah dan cubaan menjatuhkan reputasinya sebagai calon yang bertanding dalam PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Menurutnya, beliau mengakui berhutang untuk perniagaannya sendiri, tetapi bukan dengan ceti haram atau ah long.
“Pada saya ini adalah fitnah yang dilontarkan kepada saya seperti mana ia berlaku ketika penamaan calon.
“Saya diserang oleh wartawan apabila mereka bertanyakan kepada saya mengenai sijil akademik dan saya bukannya tidak mahu komen tetapi bukan masanya pada ketika itu dan saya tidak menipu,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, tular dakwaan pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor itu dikatakan berhutang dengan ah long sebanyak RM37,363 dengan sebuah syarikat kredit komuniti.
Hantaran tersebut dikatakan cuba mempertikai kewibawaannya untuk dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu kerana gagal membayar hutang.
Dalam pada itu, Khairul Azhari menjelaskan, sekiranya beliau berhutang dengan ah long akan menyebabkan kad bank dipegang dan tidak boleh mengeluarkan duit serta berkemungkinan besar rumah diserang seperti disimbah cat merah.
“Serangan peribadi ini tidak baik untuk sistem demokrasi negara kita dan ia semestinya mengganggu persepsi orang ramai terhadap saya sendiri. Berdirinya saya kerana benar dan dosa fitnah adalah lebih besar dari membunuh,” tegasnya. – UTUSAN










