HULU SELANGOR: Pakatan Harapan (PH) yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Calonnya, Pang Sock Tao berkata, beliau yakin undi awal akan berpihak kepadanya, bagaimanapun akan terus berkempen sehingga 11 Mei ini iaitu saat akhir bagi PRK Kuala Kubu Baharu.
“Saya yakin Pakatan Harapan akan dapat sokongan tapi hak mengundi adalah hak masing-masing dan saya harap semua boleh menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Untuk keputusan undian awal kita akan tengok untuk esok dan saya akan berkempen sampai saat akhir. Kami PH tidak akan putus asa,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Mengingati Lee Kee Hiong, hari ini.
Untuk rekod, undi awal akan dilaksanakan esok dekat Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine, Kuala Kubu Baharu.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan Sock Tao berhadapan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (calon Bebas). – UTUSAN










