Politik perkauman sudah tidak boleh diterima - Utusan Malaysia

Politik perkauman sudah tidak boleh diterima

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim (lima dari kanan) bergambar bersama selepas Program Sembang Kopi Bersama Belia Perlis di Block Caife, Kangar, Perlis semalam. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan Perpaduan sentiasa konsisten menolak budaya politik perkauman, agama dan identiti yang tidak lagi dapat diterima oleh rakyat pada masa kini.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pembangkang yang sering memainkan sentimen tersebut dilihat ketandusan modal politik dan seharusnya mengambil pendekatan lebih matang dengan menggelakan berbicara tentang hal peribadi atau remeh.

Kata Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu, pembangkang sewajarnya memfokuskan kepada perkara membabitkan dasar dan gagasan lebih penting antaranya melibatkan aspek ekonomi.

“Kita konsisten bercakap soal dasar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

“Sebab itu, hari ini kita bimbang dengan melihat trend sebahagian pimpinan yang ada di sebelah sana sering kali menggunakan politik kaum dan agama yang sempit untuk mencipta keresahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Program Sembang Kopi Bersama Belia Perlis di Block Caife, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata, kerajaan pada hari ini konsisten untuk memastikan aspek penerangan dapat dilaksanakan dengan tuntas di peringkat lapangan dengan melaksanakan dasar serta program dirancang.

Katanya, langkah itu sedikit sebanyak dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada kerajaan di landasan yang tepat.

“Dari sudut sokongan, kalau kita ambil dari konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu boleh digunakan sebagai kayu pengukur sokongan rakyat kepada kerajaan.

“Dapat dilihat peningkatan sokongan yang positif dan ini bermaksud sudah ada pertambahan dari sudut keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Perdana Menteri,” katanya.

Di samping itu, Muhammad Kamil berkata, kerajaan mempergiatkan dan memperluaskan aktiviti di kawasan luar bandar melalui usaha-usaha yang dijalankan umpamanya dengan mewujudkan komuniti Madani.

Katanya, langkah tersebut merupakan satu pendekatan yang lebih dekat dengan kelompok masyarakat kecil.

“Kita bantu bagi program-program berbentuk kesedaran mahu pun pembangunan kemahiran melalui platform disediakan kerajaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN