PETALING JAYA: Dianggarkan hampir 400 penumpang Monorel terjejas ekoran Stesen Hang Tuah dan Medan Tunku tidak dapat beroperasi kerana kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah hotel hari ini.
Difahamkan jumlah penumpang harian menggunakan stesen terlibat adalah berjumlah 392 orang.
Bagaimanapun Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengaktifkan perkhidmatan bas perantara ulang-alik dari Kuala Lumpur (KL) Sentral ke Medan Tuanku dan tren perantara antara Titiwangsa dan Medan Tuanku (platform 1) bagi membawa penumpang terjejas.
Terdahulu, operasi laluan Monorel kini sedang mengalami gangguan perkhidmatan disebabkan dahan pokok yang tumbang ke atas landasan akibat cuaca buruk berhampiran Stesen Monorel Raja Chulan yang berlaku pada pukul 2.20 petang
Susulan kejadian tersebut, tiada perkhidmatan di antara Stesen KL Sentral dan Stesen Medan Tuanku.
Dalam pada itu, Rapid KL sedang bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan gangguan tersebut secepat mungkin.
Katanya, buat masa ini anggota polis dan bomba sedang mengawal keadaan lalu lintas di tempat kejadian.
“Sebarang kemaskini akan dimaklumkan secara berkala menerusi saluran media sosial dan
aplikasi PULSE.
“Kami memohon maaf di atas gangguan luar jangka ini dan berterima kasih di atas kesabaran
para penumpang,” kata kenyataan itu.- UTUSAN










