KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penghormatan terakhir kepada Yang Dipertua Dewan Negara, mendiang Datuk Mutang Tagal di Pusat Peringatan Nirvana 2, Kuala Lumpur hari ini.
Perdana menteri berkata, sepanjang dilantik, kehadiran Mutang ke Parlimen amat membantu dalam membangkitkan reformasi.
“Setelah mendiang lama menyepi dalam politik, kita lantik beliau sebagai Yang Dipertua (YDP) Dewan Negara.
“Beliau mampu mengangkat martabat Dewan Negara dan mengusulkan reformasi dalam sistem Parlimen negara,” katanya.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Mutang yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) semalam akan diterbangkan ke Miri, Sarawak Ahad ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sidang Injil Borneo (SIB) pada Isnin (13 Mei).
Mutang, 70, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 pada 19 Februari lalu.
Mendiang merupakan Orang Ulu yang pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak pada 1982 hingga 1990. – UTUSAN











