PUTRAJAYA: Semua pihak diseru sentiasa komited membangunkan nilai-nilai akhlak serta modal insan masyarakat terutama melibatkan program-program hiburan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, secara asasnya, hiburan itu adalah sesuatu yang dibenarkan dalam agama Islam kerana ia adalah sebahagian fitrah insan.
Namun, jelasnya, pengisian hiburan tersebut perlu bersesuaian serta tidak melampau.
“Apa-apa bentuk program hiburan yang bertentangan dengan nilai akhlak serta budaya ketimuran perlu dielakkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Na’im berkata, Malaysia mempunyai agenda besar iaitu membangun masyarakat yang menghayati nilai-nilai madani.
Bagi menjayakan cita-cita mulia ini, katanya, ia memerlukan kerjasama dan kesepaduan tindakan semua pihak.
“Apa juga yang dilakukan pada hari ini akan memberikan kesan kepada generasi akan datang,” katanya.
Baru-baru ini, pelbagai pihak mengecam penganjuran parti liar yang diadakan di dalam gerabak KTMB bagi menyambut ulang tahun ‘Pinkfish festival’.
Selain itu, penganjuran ‘Aloha Party’ di sebuah resort terkenal di Pulau Lang Tengah, di Terengganu turut mengundang kecaman selepas tular video dan gambar sekumpulan lelaki dan wanita yang berpakaian separuh bogel di pulau peranginan itu. – UTUSAN











