KEPALA BATAS : Sebanyak RM26.3 juta diperuntukkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menaik taraf kemudahan di 15 buah institut pertanian bertauliah di bawah kementerian itu di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, usaha itu bertujuan memastikan pelatih berpeluang menikmati kemudahan komprehensif yang disediakan di institut terbabit.
“Peruntukan ini digunakan untuk menyelenggara infrastruktur sekali gus menyediakan prasarana lebih baik yang merangkumi 14 program pembangunan yang ditawarkan khusus buat pelatih.
“Pada masa yang sama, usaha ini juga akan dapat memastikan graduan memiliki ilmu terkini yang boleh digunakan dalam memajukan sektor pertanian negara di samping memenuhi keperluan semasa tenaga kerja mahir di dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall di Institut Pertanian Bumbong Lima, Kepala Batas di sini hari ini.
Pada sesi tersebut, Arthur meluangkan masa hampir dua jam berinteraksi bersama pelatih Institut Pertanian Zon Utara bagi membincangkan hala tuju dan keadaan semasa sektor pertanian negara.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, kementerian akan memfokuskan penambahbaikan dari segi prasarana serta kapasiti bilangan pelajar institut yang sedia ada.
“Setakat ini, institut yang beroperasi mampu menampung lebih 3,600 pelatih dan kita akan pastikan kapasitinya dapat ditingkatkan sebelum merancang untuk menambah institut baharu.
“Kita mahu transformasikan sektor pertanian ke arah yang lebih moden, dinamik serta kompetitif dengan melatih tenaga kerja berkemahiran sebagai pengusaha pertanian bertaraf komersil dan berskala besar melalui program persijilan latihan pertanian yang disediakan.
“Pelaksanaan program-program latihan yang berkualiti mampu melahirkan graduan yang berdaya saing untuk menghadapi cabaran dalam industri agromakanan negara dan seterusnya membangunkan sektor agromakanan berteraskan Dasar Agromakanan Negara 2.0,” katanya.-UTUSAN











