PETALING JAYA: Anggaran keperluan lembu dan kerbau untuk institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelihan bagi ibadah korban tahun ini adalah sebanyak 40,420 ekor.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, bekalan ternakan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha bermula Rabu ini mencukupi di seluruh negara untuk memenuhi keperluan semasa.
Katanya, statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan stok bekalan lembu dan kerbau tempatan adalah sebanyak 35,127 ekor manakala bekalan diimport adalah 16,845 ekor sehingga April lalu.
Ujarnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban mencecah 51,972 ekor, sekali gus melebihi anggaran keperluan.
“Bagi bekalan kambing dan bebiri pula, statistik menunjukkan stok tempatan sehingga April 2026 adalah sebanyak 25,815 ekor manakala bekalan yang diimport adalah 4,232 ekor.
“Jumlah keseluruhan bekalan bagi ternakan ini adalah sebanyak 30,047 ekor, yang mana jumlah tersebut juga melebihi unjuran permintaan semasa iaitu sebanyak 22,424 ekor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, sebanyak 27 buah rumah sembelihan milik DVS di seluruh Semenanjung juga telah bersedia untuk operasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.
“Selain itu, DVS juga telah mengeluarkan lesen kepada 43 buah rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung sehingga 16 Mac lalu bagi menawarkan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat.
“Bagi aktiviti penyembelihan korban yang ingin dijalankan di luar kawasan rumah sembelih seperti di masjid, surau, sekolah, kawasan perumahan dan tempat awam, pihak penganjur diwajibkan untuk mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar bersama dokumen berkaitan bagi mendapatkan kelulusan,” katanya.
Tambahnya, KPKM menyarankan agar orang ramai untuk sentiasa merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan.
“Ia sebagai rujukan asas bagi mremastikan seluruh proses pelaksanaan ibadah korban berjalan dengan lancar dan mematuhi standard yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










