Keluarga bekas polis koma dilanggar, tuntut penjelasan

Keluarga bekas polis koma dilanggar, tuntut penjelasan

HANAFI Qasim Ahmad (kiri) bersama adik iparnya, Noor Ezuany Jamaluddin ketika sidang akhbar di rumah mereka di Kulim Techno City, Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Keluarga bekas anggota polis yang koma akibat dilanggar seorang peniaga pada 2022, menuntut penjelasan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas pendakwaan kes terhadap tertuduh digugurkan.

Abang bekas anggota polis terbabit, Hanafi Qasim, 38, mendakwa, pendakwaan kes di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, telah digugurkan pada 17 Julai tahun lalu.

Dakwanya, dia dan keluarga hanya mengetahui pengguguran kes melalui peguam pemerhati kes adiknya, Muhamad Khairul Sayiq Ahmad, namun tidak pasti sama ada ia keputusan pihak pendakwaan atau mahkamah.

Dakwanya lagi, mereka juga tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak mengenai perkara tersebut dan telah menulis surat kepada AGC untuk penjelasan, namun tiada jawapan diberikan sehingga kini.

“Kami sekeluarga hairan dan tertanya-tanya kenapa kes di bawah Seksyen 307 digugurkan sedangkan kecederaan yang menimpa adik saya kekal selamanya. Amat sedih melihat keadaan dia sekarang yang hanya terlantar di atas katil.

“Kami membuat sidang akhbar ini tanpa niat untuk mencabar mana-mana individu atau pihak lain, apatah lagi mempunyai niat untuk menghina mahkamah, sebaliknya apa yang kami perjuangkan adalah keadilan untuk adik,” katanya di sini, hari ini.

Pada 21 Julai 2022, tertuduh, Chua Kai Choon, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulim atas pertuduhan melanggar seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dengan kenderaan pacuan empat roda sehingga parah.

Dia turut berdepan lima lagi pertuduhan iaitu menghalang tugas penjawat awam,  memasukkan dadah ke dalam badan, memandu secara melulu, memandu di bawah pengaruh dadah dan mengubah suai kenderaan.

Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi, 16 Julai 2022 berdekatan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jalan Kulim-Serdang, Kai Choon yang memandu trak pikap dipercayai menghimpit Muhamad Khairul Syafiq sehingga menyebabkan mangsa terbabas dan cedera parah.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa yang berpangkat koperal ketika itu mengejar suspek yang mengelak ketika pemeriksaan. 

Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut diubah suai dengan tangki minyak tambahan diletakkan di bahagian belakang kenderaan.

Tambah Hanafi Qasim, mereka sekeluarga tidak tahu menahu berkenaan perkembangan kes itu disebabkan terlalu fokus menjaga Muhamad Khairul Syafiq yang perlu mendapatkan rawatan susulan kejadian itu.

“Kami difahamkan orang kena tuduh (OKT) hanya dikenakan lima pertuduhan lain tidak termasuk di bawah Seksyen 307 dan keputusan kes-kes itu dijangka diketahui pada 9 Mei ini,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Noor Ezuany Jamaluddin, 33, berkata, dia tidak bekerja kerana terpaksa menguruskan suami sepenuh masa serta anak tunggal mereka, Aidil Syahmi, 5.

Katanya, dia hanya bergantung kepada duit pampasan dan pencen suami serta berharap  hukuman setimpal dikenakan terhadap pesalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN