Isu kenaikan cukai, pemilik hartanah boleh suarakan pandangan - MB - Utusan Malaysia

Isu kenaikan cukai, pemilik hartanah boleh suarakan pandangan – MB

Kenaikan cukai
AMIRUDIN Shari bergambar bersama sebahagian daripada 1,066 murid tadika selepas menerima Sijil MBOR Peserta Tadika Teramai Program Kesedaran Integriti di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang menjalankan proses penilaian semula aset atau hartanah di kawasan seliaan mereka.

Hal tersebut menyebabkan berlaku perbezaan pembayaran cukai taksiran sehingga berlaku kenaikan bagi sesetengah aset atau hartanah milik individu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau menafikan berlaku tindakan menaikkan cukai taksiran seperti yang berlaku baru-baru ini, sebaliknya kesan daripada penilaian semula selepas 10 tahun kadar sedia ada digunapakai.

“Bukan semua PBT terlibat dalam penilaian semula ini. (Sebaliknya) Apa yang dilakukan MPAJ (penilaian taksiran) pernah dilakukan oleh MPKj sebelum ini yang melakukannya pada tahun 2022.

“Penilaian semula hartanah dilakukan mengikut penilaian semasa selepas beberapa tahun…10 hingga 15 tahun. (Bagaimanapun) Selepas itu MPAJ akan mendengar pandangan dan juga melihat respon daripada pihak pemilik harta,” katanya pada program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Program Mencipta Rekod Malaysia Book Of Records, Peserta Tadika Paling Ramai Dalam Kempen Kesedaran Integriti, hari ini.

Terdahulu, isu kenaikan cukai taksiran atau sebelum ini dipanggil sebagai cukai pintu menjadi isu dibangkitkan oleh ahli politik terutama ketika Selangor berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu.

Perkara tersebut timbul selepas tular dakwaan daripada orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat tular dalam media sosial mendakwa terpaksa membayar cukai taksiran yang lebih mahal berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, jelas Amirudin, proses penilaian baharu hartanah tersebut adalah penting bagi membuat pertimbangan penilaian hartanah semasa di sesuatu kawasan seiring dengan perubahan serta pembangunan semasa.

“Ia adalah pra penilaian ke atas sebarang aset atau hartanah yang ada di dalam kawasan PBT terbabit bagi membolehkan pihak majlis mendengar pandangan atau respon dari komuniti berkenaan. Ia bukalah notis kenaikan cukai sebagaimana dibimbangkan.

“Proses penilaian semula aset penting bagi melihat keberkesanan proses perbandaran di Selangor kerana jika nilaian aset tidak berubah kemungkinan ada perkara yang tidak betul berlaku kepada lokaliti dan kawasan berkenaan,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, notis yang diterima penduduk adalah bagi membolehkan mereka mengemukakan bantahan atau pandangan berhubung penilaian tersebut yang akan dikumpul, disemak dan dibawa kepada perhatian kerajaan negeri sama ada pihaknya bersetuju dengan dapatan penilaian semula tersebut atau sebaliknya.

Menurutnya, proses penilaian berkenaan dilakukan secara saksama bagi memastikan penetapan kos yang dikeluarkan PBT seperti penyelenggaraan dan mengutip sampah diselaraskan dengan kos semasa yang tidak sama seperti 10 tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN