KUALA LUMPUR: Hasrat penyanyi asal United Kingdom, Henry Moodie untuk bertemu peminatnya di negara ini tercapai menerusi persembahan yang diadakan di kompleks beli belah Plaza The Exchange TRX, baru-baru ini.
Lebih istimewa lagi apabila penyanyi yang memiliki 5 juta pengikut di TikTok itu sanggup mengadakan persembahan itu secara percuma semata-mata untuk mendekati peminatnya di negara ini.
Kata bintang media sosial berusia 20 tahun itu, persembahan tersebut dilaksanakan bagi menghargai peminat yang selama ini memberi sokongan terhadap kerjaya nyanyiannya.
“Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyantuni peminat saya di negara ini.
“Alang-alang sudah ke sini, kenapa tidak saya hadiahkan persembahan percuma untuk peminat?
“Bagi saya, cara itu lebih inklusif, membuka kesempatan untuk berjumpa semua peminat, sama ada yang berkemampuan, atau pun tidak,” katanya.
Henry berkata demikian pada sesi bersama media yang diadakan di ibu kota, semalam.
Ribuan peminat pada Ahad lepas membanjiri aras 2 kompleks beli belah tersebut bagi menyaksikan persembahan istimewa penyanyi yang popular dengan lagu Drunk Text itu.
Henry dalam pada itu meluahkan rasa teruja terhadap sambutan memberangsangkan yang diterimanya sempena showcase berkenaan.
“Saya dapat rasakan keramahan penonton yang bersama-sama menyanyikan lagu-lagu saya. Penerimaan mereka terhadap kehadiran saya amat memberangsangkan.
“Saya bertuah kerana memiliki lagu-lagu yang mendekatkan saya dengan peminat pelbagai latar belakang.
“Sokongan mereka kepada saya tak berbelah bagi. Peminat saya adalah orang-orang yang hebat,” kongsinya.
Terdahulu, penyanyi yang lahir pada 7 April 2004 itu berkesempatan menyantuni peminatnya di Manila, Filipina.
Selepas Malaysia, Henry dijadualkan pula untuk bertemu peminatnya di Jakarta, Indonesia pada 8 Mei ini.










