SEPANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan jaminan bahawa operasi bangunan agensi tersebut di Wangsa Maju, Kuala Lumpur masih lagi dibuka seperti biasa hari ini.
Walau bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, seksyen yang terjejas dengan banjir perlu ditutup buat sementara waktu untuk proses baik pulih antaranya di bahagian pelesenan pemandu.
“Hanya tempat yang terkesan dan bukan seluruh bangunan itu,” jelasnya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.
Beliau merujuk hantaran video yang tular memaparkan keadaan beberapa bahagian di JPJ berkenaan teruk dilanda banjir akibat limpahan air hujan lebat dari siling bocor semalam.
JPJ Wangsa Maju merupakan ibu pejabat agensi itu bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibuka pada 31 Julai 1996 menggantikan lokasi asalnya di Pusat Bandar Damansara.
Ditanya mengenai nilai kerosakan pula, beliau berkata, pihak JPJ Kuala Lumpur sudah pun membuat anggaran dan sedang menyediakan satu laporan lengkap kejadian berkenaan termasuk siasatan mengenai punca insiden tersebut.
Beliau walau bagaimanapun meminta masyarakat agar tidak terlalu berasa bimbang dengan tahap keutuhan bangunan JPJ Wangsa Maju yang sudah lama dan berusia hampir 30 tahun. – UTUSAN










