PADANG TERAP: Berkat kreativiti, pengorbanan dan keazaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Nami di sini, murid sekolah pedalaman tersebut berpeluang merasai keseronokan bermain boling setiap kali waktu rehat.
Dengan menggunakan bola dan pin sebenar yang disumbangkan oleh sebuah pusat boling di Alor Setar, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Nami, Wan Roslan Wan Ishak berganding bahu bersama beberapa guru lain membina lorong boling untuk kegunaan murid di situ.
Tidak cukup itu, Wan Roslan, 48, yang lebih mesra disapa Ustaz Wan turut membina laluan khas menggunakan paip polivinil klorida (PVC) yang diisi dengan simen, bagi membolehkan bola digolekkan semula ke permulaan lorong setiap kali selepas digunakan.
“Saya sendiri meminati boling dan pernah mewakili negeri dalam Kejohanan Sukan Dan Kebudayaan Pegawai Pendidikan.
“Disebabkan itu sejak 2015, saya tubuh kelab boling di sekolah ini dan sering membawa murid-murid ke Alor Setar untuk berlatih.
“Tetapi disebabkan faktor jarak yang mencecah 50 kilometer sehala ke Alor Setar selain kos perlu ditanggung, saya mula mengambil inisiatif untuk membina lorong boling sendiri di sekolah menggunakan papan lapis pada 2018,” katanya.
Melihat kepada minat tinggi ditunjukkan murid-murid di sekolah berkenaan, Ustaz Wan kemudiannya membina satu lagi lorong boling pada 2021 yang diberikan lebih perincian termasuk meletakkan cat licin serta kertas khas di atasnya serta minyak pada lorong boling berkenaan.
“Seterusnya pada 2023, kedua-dua lorong itu dinaik taraf dengan papan tersebut dibuat dua lapis agar bola tidak mudah melantun. Kertas dinding turut diletakkan di situ supaya permukaannya menjadi licin selain meletakkan minyak khas,” katanya.
Tambahnya, kos untuk membina lorong boling tersebut dikeluarkan sendiri bersama guru-guru lain selain sumbangan beberapa pihak.
“Rasa berbaloi lakukan semua ini kerana setiap tahun akan ada murid-murid kami yang layak bertanding ke peringkat negeri. Daripada pemerhatian saya, anak-anak di sini ramai yang cenderung ke arah sukan dan mampu berjaya jika digilap.
“Kebanyakan mereka dari keluarga susah sampai kadang-kadang nak minta RM10 daripada waris untuk bawa anak mereka berlatih di Alor Setar pun saya rasa macam nak menitis air mata. Disebabkan itu, kami ambil inisiatif ini bagi melatih mereka pada bila-bila masa sesuai,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Nami, Azizah Nik Ishak berkata, beliau amat menghargai usaha Ustaz Wan bersama guru-guru lain dalam mengembangkan bakat anak-anak murid di sekolah berkenaan.
“Saya amat hargai pengorbanan Ustaz Wan bersama guru-guru lain terutamanya dari segi kewangan, masa dan penat lelah membina lorong boling tersebut. Saya lihat, murid-murid cukup gembira dengan usaha dilakukan Ustaz Wan serta guru-guru lain dan mereka jelas menampakkan minat untuk terus mendalami sukan berkenaan.
“Bagi kebanyakan keluarga di sini, permainan boling mungkin dianggap sebagai sukan yang memerlukan kos tinggi. Melalui inisiatif ini, kita dapat lihat bagaimana mereka gembira mencuba perkara baharu dan tak mustahil suatu hari nanti akan lahir atlet kebangsaan dari sini,” katanya. –UTUSAN










