KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Mimi Fly, 40, menegaskan bacaan mantera dalam pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang tidak menyentuh sensitiviti keagamaan.
Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham berkata, pelakon teater bertanggungjawab dan memikul amanah apabila menerima sesebuah naskhah.
Selain itu katanya, pelakon juga perlu bersedia menanggung segala risiko demi kecintaan terhadap bidang lakonan.
“Saya rasa sebagai seorang pelakon, kita tak boleh kisah sangat pasal perkara tersebut.
“Ada tanggungjawab dan amanah dia bila jadi pelakon ini, dan kita kena tahu juga apa kesan karakter itu kepada kita, jadi risikonya harus ditanggung sendiri. Itu sebabnya saya terima tawaran ini.
“Memanglah kita boleh sibukkan pasal kerisauan ini semua, tapi ini adalah kerisauan orang yang tak mengambil tawaran ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut penyanyi lagu Nara itu, khalayak tidak sepatutnya menyamakan karakter yang diwujudkan di atas pentas dengan prinsip hidup peribadinya sebagai seorang Muslim.
“Ya, ini adalah untuk naskhah ini. Sebab Mimi pun seorang artis.
“Jadi, saya tetap dengan perspektif di mana sebagai seorang artis kita pastikan kemenjadian watak dan naskhah yang kita lakonkan. Ini adalah tugas sebagai pelakon.
“Jadi saya, tak ada nak sibukkan pasal hal-hal keagamaan. Kerana penting saya menjaga karakter ini, Bayan adalah bayan.
“Karakter tu adalah watak yang saya hasilkan, tapi saya tetap saya. Saya tetap balik rumah, jumpa ibu saya, solat dengan dia. Saya tetap jadi saya,” jelasnya.
Bintang berusia 40 tahun itu menambah, orang luar tidak wajar menilai keterujaan dan cara kerjanya kerana mereka tidak berada di posisinya sebagai seorang pelakon yang komited.
“Orang luar tidak berada dalam kedudukan saya, jadi mereka tak tahu.
“Saya tetap menjalankan kerja saya. Ini tanggungjawab saya, kedudukan saya setakat ini. Ini kehidupan saya.
“Ini bayaran yang harus kami terima sebagai pelakon teater. Anda perlu mendalami karakter ini tanpa menilai dia siapa, negara apa, agama apa. Pengakhirannya kita semua ciptaan Tuhan bukan?” soalnya lagi.
Menyentuh mengenai babak bacaan mantera dibimbangi mencetuskan salah faham, Mimi menyifatkan teater merupakan kaedah bercerita masyarakat terdahulu sebelum wujudnya teknologi moden.
“Ya, ini adalah bagaimana orang-orang dulu menyampaikan cerita. Sekarang ada internet. Kita baca, kita tengok, kita teroka, kita tekan. Tapi dulu, teaterlah cara orang memperkenalkan ideologi mereka,” katanya.- UTUSAN











