Gagal berinovasi kerana anggap hampas tandan sawit tiada nilai

Gagal berinovasi kerana anggap hampas tandan sawit tiada nilai

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pihak berwajib didakwa gagal melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi bagi mengkomersialkan tandan sawit kosong kerana menganggap ia hanya bahan buangan yang tiada nilai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap industri kelapa sawit juga terlepas pandang manfaat tandan kosong kerana tumpuan hanya diberikan kepada minyak sawit mentah dan isi rong.

“Disebabkan itu, bukan sahaja R&D dan inovasi, pihak berwajib juga gagal mencari kaedah baharu bagi mengkomersialkan tandan sawit kosong.

“Agensi kerajaan terbabit leka mengejar keuntungan yang sama dan beranggapan hampas tandan sawit kosong sebagai bahan buangan,” katanya di sini kelmarin.

Sebelum ini, YPNM mendakwa, negara gagal menjana pendapatan RM10 bilion setahun apabila dianggarkan kira-kira tujuh juta tan sisa tandan kelapa sawit kosong yang dihasilkan daripada aktiviti perladangan dibuang dan dibiarkan mereput di ladang-ladang.

Dianggarkan daripada tujuh juta tan tandan sawit kosong itu sekiranya diproses, ia dapat memperoleh 30 peratus sabut bersih bersamaan kira-kira dua juta tan metrik.

Anggaran pendapatan dua juta tan metrik sabut bersih itu kira-kira RM4 bilion setahun berdasarkan harga pasaran semasa antara RM1,500 hingga RM2,000 satu tan metrik.

Sekiranya diproses menjadi kertas, cawan dan pembungkus makanan yang mesra alam, lebih RM6 bilion setahun mampu diperoleh negara sekiranya bahan mentah daripada tandan sawit itu dimanfaatkan sebaiknya seperti mana dilakukan di China.

Mohd. Firdaus berkata, bahagian agensi pertanian juga gagal memanfaatkan tanaman kulat cendawan menerusi tandan kelapa sawit kosong.

“Pihak berkenaan juga tidak melakukan pembaharuan dan mengkomersialkan cendawan tandan sawit dalam negeri dan luar negara.

“Pihak bertanggungjawab seharusnya membuat kaji selidik inovasi teknologi tandan sawit kosong dan komersialkan supaya usahawan-usahawan tempatan boleh menjalankan industri pembuatan fiber tandan sawit, kertas, pinggan mangkuk jenis pakai buang dan pelbagai barangan lain.

“Ramai tidak menceburi bidang usahawan ini kerana tidak tahu faedah dan manfaat tandan sawit kosong dan tidak diberi pendedahan serta bimbingan tentang industri tandan sawit kosong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN