Dimaki pelanggan sebab chalet tiada air

Dimaki pelanggan sebab chalet tiada air

NORHASIMAH Roslan menunjukkan tangki air yang ditempatkan di resort miliknya yang menggunakan modal sendiri untuk mengatasi masalah bekalan air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Pengusaha chalet di sini berdepan kesukaran untuk beroperasi berikutan masalah bekalan air terputus terutama pada waktu puncak seperti musim cuti sekolah.

Norhasimah Roslan, 34, bersama suami, Zaharuddin Azhar, 33 yang mengusahakan Teluk Sari Beach Resort berkata, isu berkenaan sudah berlarutan sejak lima tahun lalu di mana bekalan air hanya mampu bertahan sehingga dua hari.  

Dakwanya, pengusaha-pengusaha chalet lain di situ juga berdepan masalah sama.  

“Air memang jadi keperluan, jika tiada air pelanggan pun jadi marah. Lebih lima tahun masalah air ini berlaku dan tiada solusi. Bahkan di pihak kami sendiri telah keluar modal membuat tangki air sendiri, buat kolam, namun macam mana tangki hendak penuh jika air yang diterima kecil?

“Air tangki kami hanya mampu bertahan untuk dua hari. Bayangkan jika musim cuti persekolahan dengan kegunaan untuk pelanggan di resort dan kawasan tapak perkhemahan, memang tidak cukup.

“Kami memang ada grup WhatsApp yang membincangkan masalah air melibatkan pengusaha-pengusaha di sini. Jadi, bila pelanggan bising, kami terpaksa tunjuk grup tersebut kerana kami sebagai pengusaha bukan suka-suka mengadakan masalah itu agar pelanggan tidak suka kepada kami,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, sumber air yang diterima resort itu terletak 20 kilometer iaitu di Labong dan turut digunakan beribu penduduk kampung berdekatan.

Tambahnya, pernah juga dia menanggung kerugian apabila pelanggan yang datang mahukan duit dikembalikan ekoran masalah air.

“Kami pernah juga dimaki pelanggan kerana masalah air ini. Apa boleh kami buat, pulangkan duit agar mereka boleh menginap di tempat lain kerana kami tidak mampu buat apa-apa lagi.

“Selepas Covid-19 kami pengusaha chalet baru sahaja hendak bernafas kembali. Isu air ini sepatutnya tidak beraku lagi kerana kawasan ini adalah kawasan tumpuan pelancong kerana keindahan pantainya.

“Kita minta agar pihak berkenaan dapat bantu kami atasi perkara ini jika tidak kami akan kerugian. Jika dapat bina tangki khas di sini adalah memadai untuk kemudahan para pengusaha resort,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN