DUN Selangor: Pembinaan loji penyahgaraman air diteliti

DUN Selangor: Pembinaan loji penyahgaraman air diteliti

Penyahgaraman air
LRA Sungai Rasau Fasa 1 dijangka siap dan akan mula operasi pada awal 2027.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor meneliti perancangan pembinaan loji penyahgaraman air sebagai usaha untuk meningkatkan margin rizab keperluan asas itu bagi memenuhi peningkatan permintaan serta mencapai sasaran simpanan 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, ketika ini margin rizab di negeri ini berada pada tahap 17.4 peratus iaitu melebihi daripada saranan 15 peratus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, berdasarkan 34 loji rawatan air (LRA) sedia ada, Air Selangor berupaya memastikan pengeluaran air bersih sebanyak 6,500 juta liter setiap hari (JLH) berbanding purata penggunaan air sebenar 5,370 JLH.

“Kerajaan negeri bersama Air Selangor sedang merangka untuk kita mula memperkenalkan loji penyahgaraman air yang kita yakin merupakan langkah strategik dalam mempelbagaikan sumber air,” katanya pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Chua Wei Kiat (PH-Rawang) yang diwakili Gunarajah George (PH-Sentosa) berkenaan rizab air di negeri ini.

Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah turut memberitahu terdapat empat LRA yang sedang dalam pembinaan dan akan dibina bagi memenuhi peningkatan permintaan bekalan air bersih.

“Berikut adalah empat LRA yang sedang dan akan dibina bagi memenuhi peningkatan permintaan bekalan air oleh pengguna. LRA Sungai Rasau Fasa 1 yang sedang dalam pembinaan berjumlah 700 JLH akan siap pada awal 2027; LRA Sungai Rasau Fasa 2, 700 JLH akan siap pada 2031.

“LRA Labohan Dagang Fasa 2, 200 JLH akan siap pada 2029 dan LRA Langat 2 Fasa 2, 760 JLH akan siap 2030. Berkeseluruhan tambahan (pengeluaran) 2,300 JLH,” jelasnya.

Malah, tambahnya, kerajaan negeri turut merangka pelan lain bagi meningkatkan margin rizab dan pembekalan melalui penggunaan 185 kolam-kolam air di Selangor yang dapat dihubungkaitkan dengan sistem sungai di bawah skim Selangor Off-River Storage Scheme dan juga Hybrid Off-River Augmentation System (HORAS) 3000 yang sedang dalam pelaksanaan.

“Pendekatan yang diambil oleh Selangor bagi menambah margin rizab adalah dengan merangka pelan melibatkan usaha-usaha pengambilan NRW atau air tidak berhasil yang dalam 30 tahun.

“Pelan itu melibatkan kerja-kerja penggantian paip, menaik taraf aset seperti rumah pam, tangki serta paip agihan dan retikulasi air. Naik taraf LRA sedia ada, meningkatkan kapasiti simpanan dengan membina tangki dan kolam baharu serta merangka pelan kesalinghubungan di antara dua atau lebih sistem agihan bekalan air,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN