SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah membuat persediaan awal dengan memperkukuh infrastruktur bekalan air di negeri ini termasuk menerusi pembangunan kemudahan bekalan air industri bagi memenuhi permintaan tiga buah pusat data di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan pembangunan tiga buah pusat data di Seremban dan Port Dickson itu tidak menjejaskan bekalan air domestik kepada rakyat.
Menurutnya, buat masa ini ketiga-tiga projek berkenaan akan menggunakan bekalan air sedia ada memandangkan negeri mempunyai lebihan kapasiti air terawat yang mencukupi.
“Buat masa ini mereka akan menggunakan bekalan air daripada Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) kerana kita mempunyai lebihan yang mencukupi untuk digunakan bersama.
“Dalam tempoh sama, kerajaan negeri sedang merancang sumber alternatif iaitu pembangunan air industri baharu termasuk menggunakan konsep new water yang dirawat semula bagi menampung keperluan sektor berintensifkan penggunaan air seperti pusat data,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 di sini, hari ini.
Aminuddin menambah, pembangunan kemudahan air industri itu penting bagi memastikan kawasan perindustrian yang menggunakan air dalam kuantiti tinggi dapat dipenuhi tanpa memberi tekanan kepada pengguna domestik.
Bagaimanapun jelasnya, konsep asas pembinaan pusat data adalah pihak pemaju akan membina loji rawatan air khas dengan menggunakan sumber air sungai atau air pulih guna dari loji syarikat pembentungan IWK Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, LRA Ngoi-Ngoi 2 yang siap dibangunkan berupaya mengeluarkan sebanyak 150 juta liter air sehari.
Katanya, kapasiti tersebut mampu memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 akaun pengguna melibatkan sektor domestik, komersial dan industri serta dijangka mampu menampung keperluan antara 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kerajaan negeri bagi memperkukuh sistem bekalan air selaras dengan pertumbuhan pelaburan dan pembangunan baharu,” katanya.
Sementara itu, katanya, setakat ini paras air di kesemua empangan di negeri ini berada dalam keadaan baik dengan empat empangan melebihi 90 peratus simpanan dan dua empangan mempunyai 100 peratus simpanan penuh. – UTUSAN










