Bekalan air di Tawau terjejas susulan banjir

Bekalan air di Tawau terjejas susulan banjir

KEADAAN banjir di Tawau
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Bencana banjir yang melanda daerah ini menjadi punca gangguan bekalan air selepas menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA), sekali gus menyebabkan kira-kira 5,578 akaun pengguna terkesan.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata kejadian banjir itu menjejaskan operasi LRA Apas Balung 1 dan 2, LRA Utara serta LRA Cinta Mata.

Menurut beliau, LRA Apas Balung 1 dan 2 terpaksa dihentikan operasi sementara selepas kawasan loji ditenggelami air sepenuhnya sehingga menyebabkan kerosakan kepada kemudahan serta komponen utama mekanikal dan elektrikal (M&E).

“Jabatan Air Sabah (JANS) mengambil maklum berhubung gangguan bekalan air yang sedang dihadapi sebahagian pengguna di daerah Tawau susulan bencana banjir yang menjejaskan pengoperasian beberapa LRA.

“Pihak jabatan memahami kesulitan yang dialami pengguna dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan bagi memulihkan bekalan air secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan operasi dan teknikal JANS Bahagian Tawau kini sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh, kerja-kerja pembersihan loji serta pembaikan komponen yang terjejas bagi membolehkan LRA Apas Balung 1 dan 2 kembali beroperasi dengan selamat.

Dalam masa sama, katanya, LRA Utara dan LRA Cinta Mata telah kembali beroperasi, manakala pengeluaran air terawat sedang dipertingkatkan secara berperingkat bagi membantu menstabilkan bekalan air kepada pengguna.

Bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air, Jabatan Air Bahagian Tawau turut mengaktifkan pelan mitigasi sementara dengan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan yang terjejas.

“JANS memberi jaminan segala usaha sedang dipergiatkan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan sistem bekalan air dapat distabilkan dengan kadar segera,” katanya

Mengulas penyelesaian jangka panjang, Joachim berkata pihaknya menerusi Jabatan Air Sabah sedang melaksanakan Projek Skim Bekalan Air Fasa III – Reka Bentuk dan Pembinaan Empangan Tawau yang dijangka siap pada Oktober tahun depan.

Katanya, projek berkenaan bukan sahaja akan memperkukuh sistem bekalan air di daerah itu, malah meningkatkan keupayaan kawalan banjir agar lebih mampan pada masa hadapan.

“Jabatan Air Bahagian Tawau akan terus memantau keadaan ini secara berterusan dan segala perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi jabatan,” katanya.

Setakat jam 12 tengah hari, mangsa banjir di Tawau kekal merekodkan seramai 335 orang dan kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN