PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sejumlah 35 premis yang menghalang laluan awam menerusi Tindakan Khas Mega Pindah Halangan Tred Perniagaan dan Penjaja Warga Asing di sekitar ibu negara, malam tadi.
DBKL menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, operasi itu dijalankan menerusi Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama Pejabat Cawangan di Seputeh, Batu, Setiawangsa, Bukit Bintang dan Titiwangsa.
Katanya, kawasan yang terbabit dengan operasi itu adalah di sekitar Jalan Kuchai Maju, Sri Petaling, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Sultan, Jalan Jejaka, Jalan Mahkota, Jalan Peel, Jalan Dato’ Senu, Jalan Wangsa Delima, Jalan Setiawangsa dan Taman Sri Rampai.
“Sebanyak 35 premis dan pemilik aktiviti perniagaan dikenakan tindakan sita dan pindah barangan membabitkan kesalahan halangan tempat atau laluan awam di bawah kesalahan Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Tindakan sita turut diambil ke atas dua penjaja warga asing berikutan menjalankan perniagaan tanpa lesen pihak berkuasa.
“DBKL mengeluarkan satu notis kompaun di bawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 (penjaja tanpa lesen warga tempatan) dan satu notis kompaun di bawah UUK 22, Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 (melantik pembantu gerai warga asing),” katanya.
DBKL berkata, tindakan penguatkuasaan khas itu dilaksanakan secara serentak di lima Parlimen membabitkan kawasan tumpuan dan premis perniagaan yang dibuat pemeriksaan dan pengeluaran notis pemberitahuan kesalahan sebelum ini.
Kata beliau, pemeriksaan dan tindakan sita, pindah halangan dan kompaun serta-merta dikenakan terhadap premis penjaja makanan minuman, kenderaan saji (food truck), perniagaan sayuran, buah-buahan dan barangan am.
“Tindakan dibuat kerana dikesan membuat halangan tempat awam dengan meletakkan kerusi, meja, gerai, barangan jualan dan lain-lain peralatan di atas jalan, laluan pejalan kaki, laluan orang kelainan upaya (OKU), petak parkir awam serta kawasan lapang,” katanya.
Tambahnya, semua barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Taman Miharja Cheras.
“DBKL akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di lokasi hotspot lain dari semasa ke semasa sekitar 11 Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.- UTUSAN










