KUALA TERENGGANU: Gabungan semangat dan kreativiti Cef Rizal Md. Dali, 43, membolehkan coklat ‘Sweet Memories’ yang dihasilkannya terpilih sebagai pemenang pingat emas dalam World Chefs Championship 2024 di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, tema itu dipilih kerana mahu mengembalikan semula kenangan zaman dahulu yang cukup berharga untuk dikenang generasi muda pada masa sekarang.
Menurutnya, penghasilan coklat seberat 20 kilogram itu mengambil masa seminggu untuk disiapkan secara solo di Hotel Paya Bunga di sini untuk dibawa ke pertandingan tersebut.
Katanya, penghasilan ‘Sweet Memories’ menggunakan sepenuhnya 70 peratus ‘dark chocolate’ dan bakinya 30 peratus ialah coklat putih untuk memberi rasa manis dan sedap yang seimbang.
Tambahnya, banyak cabaran yang dihadapi dalam kejohanan bertaraf dunia itu coklat ‘Sweet Memories’ itu kerana perlu disiapkan dalam masa seminggu sahaja berbanding sebulan mengikut jadual asal.
“Cabaran seterusnya ialah coklat itu patah sebanyak tiga kali dan paling cemas ketika gagang telefon patah ketika berada di lokasi pertandingan kerana waktu hanya berbaki dua jam dan saya terpaksa menggunakan apa sahaja bahan yang ada untuk membaikinya.
“Alhamdulillah, berkat pengalaman selama 15 tahun dalam industri ini kerosakan itu dapat diperbaiki dan saya bersyukur kerana karya coklat ‘Sweet Memories’ akhirnya terpilih sebagai juara,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau adalah antara lima cef Hotel Paya Bunga di sini yang mencipta sejarah cemerlang apabila mengungguli tujuh kategori dalam pertandingan tersebut.
Pertandingan itu adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Jurumasak Malaysia (MCMA) dan disokong oleh Tourism Johor disertai lebih 2,100 cef dari seluruh dunia seperti China, Hong Kong, Taiwan, Taipei dan Kanada.
Sementara itu, Muhammad Helmi Hakim Yusof, 25, pula berkata, kemenangannya dalam dua kategori iaitu laksa Siam dan kari ikan menjadi pembakar semangat untuknya terus menghasilkan masakan yang berkualiti dan berkhasiat pada masa akan datang.
“Saya teruja dengan kemenangan kali pertama ini dan berazam untuk terus menimba ilmu dalam meningkatkan kemahiran sebagai seorang cef profesional,” katanya. – UTUSAN










