JERANTUT: Pengguna jalan raya termasuk ahli jemaah Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) di sini memohon pihak berwajib membina bonggol atau garisan kuning di Jalan Jerantut-Temerloh dekat Temin di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli kariah MTMAJ, Mohd. Zain Hashim berkata, kemalangan jalan raya kerap berlaku di situ apabila orang ramai melintas jalan khususnya penunggang motosikal dari arah persimpangan kawasan perindustrian Jerantut dan juga ketika hendak masuk ke kawasan gerai makan dari arah lampu trafik.
“Masalah ini juga membimbangkan ahli kariah yang masuk dan keluar dari MTMAJ ketika solat lima waktu dan majlis keagamaan termasuk musafir yang singgah di masjid ini.
“Laluan ini adalah jalan dua hala utama masuk ke bandar Jerantut dan ke Temerloh merupakan paling sibuk dengan kenderaan sepanjang masa malahan kebanyakan pemandu dan penunggang membawa kenderaan masing-masing sangat laju,” katanya di sini semalam.
Menurut Mohd. Zain, ahli jemaah bimbang dan teragak-agak ketika keluar dari masjid untuk melintas jalan memandangkan kenderaan lain dipandu laju ketika lampu isyarat berdekatan bertukar hijau dan begitu juga kenderaan dari arah Temerloh.
Penduduk Jerantut, Sharani Alimin berkata, dalam bulan ini sudah beberapa kali berlaku kemalangan melibatkan kecederaan teruk termasuk ada yang meninggal dunia.
“Sewajarnya pihak berwajib membina bonggol atau garisan kuning sekurang-kurangnya pemandu memperlahankan kenderaan masing-masing khususnya di hadapan pintu masuk ke kawasan masjid dan gerai makan,” katanya. – UTUSAN










