Bank Rakyat kekal releven walaupun 70 tahun penubuhan

Bank Rakyat kekal releven walaupun 70 tahun penubuhan

R. RAMANAN memukul gong sambil disaksikan Mohd. Irwan Mohd. Mubarak (kiri) ketika merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Bank Rakyat 2024 di Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Rakyat tetap utuh merentasi zaman walaupun bakal mencapai usia Jubli Platinum September ini, bagi memainkan peranannya dalam mengekalkan kesejahteraan pelanggan di seluruh negara.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, sepanjang 70 tahun penubuhan Bank Rakyat, institusi itu masih kekal relevan sebagai bank pilihan seluruh peringkat komuniti tidak kira di bandar mahu pun luar bandar, di samping melakar pelbagai kejayaan setiap tahun.

“Baru-baru ini, Bank Rakyat menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Inspirasi Madani, Anugerah Prestasi Terbaik 2022-2023 bagi Institusi-institusi Kewangan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad dan The Platinum Award for CSR and ESG Leadership.

Bank koperasi Islam terbesar di Malaysia ini juga terus konsisten mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 menerusi keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.76 bilion dengan kadar dividen 15 peratus kepada anggotanya.

“Bank Rakyat juga mengumumkan dividen istimewa sebanyak dua peratus dengan jumlah pembayaran RM56.62 juta yang akan dilaksanakan pada September ini bersempena sambutan ulang tahunnya ke-70,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis Perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan.

Mohd. Irwan bagaimanapun menekankan, kejayaan yang dikecapi Bank Rakyat sehingga ke hari adalah hasil sokongan daripada anggotanya yang merangkumi 800,559 individu dan 2,264 koperasi.

“Mereka ini merupakan akar umbi dan teras yang penting bagi institusi ini, di samping semangat kerjasama dan perpaduan antara pucuk pimpinan serta seluruh warga kerjanya,” katanya.

Sementara itu, R. Ramanan menzahirkan rasa bangga beliau terhadap barisan kepemimpinan Bank Rakyat yang telah mengemudi institusi itu ke peringkat tertinggi walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang 70 tahun penubuhannya.

Katanya, sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal pembangunan keusahawanan dan koperasi, KUSKOP sentiasa menyokong penuh inisiatif Bank Rakyat dalam memacu pembangunan sektor keusahawanan serta koperasi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN