PETALING JAYA: Bank Rakyat perlu terus meneroka peluang baharu serta membangunkan model perniagaan lebih berdaya saing dan mampan bagi memastikan institusi itu kekal relevan dalam landskap kewangan semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Rakyat juga perlu menggalas mandat penubuhannya dengan lebih berani dan berwawasan.
“Alhamdulillah, saya merakamkan penghargaan atas prestasi tadbir urus dan kedudukan kewangan Bank Rakyat yang terus kukuh pada tahun lalu, mencerminkan disiplin serta komitmen tinggi dalam mengurus amanah.
“Saya juga menekankan agar Bank Rakyat terus menggalas mandat penubuhannya dengan lebih berani dan berwawasan, sambil meneroka peluang baharu ke arah mewujudkan model perniagaan yang lebih berdaya saing dan mampan demi manfaat bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat bagi meneliti prestasi kewangan tahun 2025 serta hala tuju institusi tersebut untuk tahun mendatang.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, perbincangan turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh sistem perbankan dan kewangan Islam yang perlu terus diperkasa selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Saya tegaskan bahawa prinsip keadilan, ihsan dan keterangkuman mesti terus menjadi teras dalam memperluas peranan kewangan Islam,” katanya. – UTUSAN










