PETALING JAYA: Bank Rakyat melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) bumbung di 84 buah cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia sebagai komitmen terhadap agenda peralihan tenaga negara.
Pemasangan itu membentuk rangkaian penjanaan tenaga bersih teragih (Distributed Generation) terbesar dalam kalangan institusi kewangan tempatan dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 2.3 megawatt-peak (MWp).
Projek itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Bank Rakyat dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) di bawah Skim Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering, NEM) dan telah menerima kelulusan kuota Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Ir. Kwok Yew Hoe berkata, inisiatif tenaga boleh diperbaharui seperti Projek Solar PV Bumbung Bank Rakyat itu bukan sahaja mencerminkan komitmen korporat terhadap agenda kelestarian, malah menjadi penanda aras bagi sektor komersial, khususnya institusi kewangan.
“Apabila institusi kewangan sebesar Bank Rakyat beralih kepada tenaga hijau, mesej yang disampaikan kepada pasaran adalah jelas iaitu penyelesaian rendah karbon kini menjadi sangat penting dalam keperluan strategik dalam operasi dan perniagaan moden.
“Projek ini dijangka mengurangkan pembelian tenaga daripada grid sebanyak 3,000 MWh setahun serta menyumbang kepada pengurangan jejak karbon sebanyak 2,300 tan setahun bersamaan dengan pengurangan lebih 500 buah kereta di jalan raya,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Solar PV Bumbung Bank Rakyat di Mercu UEM baru-baru ini.
Pemasangan sistem solar PV bumbung itu susulan daripada Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) yang telah ditandatangani antara Bank Rakyat dan Cenergi SEA.
Katanya, menerusi perjanjian itu, Cenergi bertanggungjawab melabur, membina, mengoperasi dan menyelenggara sistem solar PV bumbung dan menjual tenaga solar yang terjana kepada Bank Rakyat untuk kegunaan sendiri.
Dalam pada itu, Bank Rakyat bangga menjadi antara institusi kewangan terawal di Malaysia yang melaksanakan pemasangan solar PV bumbung berskala besar bagi menjana tenaga bersih untuk kegunaan sendiri.
“Projek ini membolehkan 84 cawangan Bank Rakyat di seluruh Semenanjung Malaysia menjana tenaga elektrik sendiri, sekali gus mengurangkan kos elektrik serta menyokong usaha Bank Rakyat menuju kelestarian dan peralihan tenaga negara.
“Inisiatif ini merupakan satu langkah besar Bank Rakyat dalam menyokong Pelan Peralihan Tenaga Negara yang menyasarkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2030,” ujar Bank Rakyat dalam kenyataan.
Selain pemasangan solar PV, Bank Rakyat turut memperkenalkan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Menara Kembar Bank Rakyat sebagai salah satu langkah persediaan ke arah pensijilan Bangunan Hijau (Green Building Index, GBI). – UTUSAN











