PUTRAJAYA: Pengguna domestik yang memasang sistem solar layak menerima rebat maksimum RM3,000 bersamaan 5kWac yang dijangka mampu memberi manfaat sehingga 50,000 rumah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif baharu itu adalah di bawah program program Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home sebagai bagi membantu rakyat mengurangkan kos elektrik melalui pemasangan sistem solar bumbung kediaman.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pelaksanaan program itu merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi cabaran krisis bekalan global berikutan peningkatan kos tenaga dan ketidaktentuan pasaran tenaga global akibat konflik geopolitik di Asia Barat, di samping mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara.
“Pengguna domestik yang memasang sistem Solar ATAP (Accelerated Transition Action Programme) dan memenuhi kriteria kelayakan boleh menerima rebat sebanyak RM600 bagi setiap 1kWac pemasangan solar sehingga maksimum RM3,000 bersamaan 5kWac.
“Program ini dijangka memberi manfaat kepada antara 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul sekitar 250MW, sekali gus memperluas penggunaan solar bumbung kediaman di seluruh negara,” katanya ketika melancarkan inisiatif itu di sini hari ini.
Program SuRIA Home akan dibuka kepada pemasangan solar di bawah program Solar ATAP yang mula beroperasi bagi tempoh sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga kuota 250MW dipenuhi yang mana terdahulu.
Pelaksanaan rebat pula akan bermula pada 1 Jun ini dan tertakluk kepada prinsip ‘first come, first served’ dengan sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi inisiatif rebat solar SuRIA Home.
Bagi memastikan bantuan ini dapat dinikmati secara adil dan telus, hanya warganegara Malaysia yang merupakan pengguna individu Domestik Voltan Rendah (LV) dan telah berjaya memula tugas sistem solar ATAP dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) layak menerima rebat dengan had tuntutan sekali bagi setiap individu.
Pengguna yang layak akan diberi notifikasi menerusi email berdaftar dengan TNB untuk memajukan butiran akaun bank. Pembayaran rebat akan disalurkan terus ke akaun bank tempatan di bawah nama pelanggan TNB yang berdaftar selepas
pengesahan permohonan dibuat oleh pihak TNB.
Pengguna yang pernah menerima bantuan atau rebat solar sebelum ini tidak layak di bawah program ini. – UTUSAN










