Balai polis diserang: Kekal tenang, beri kepercayaan kepada polis - Na’im

Balai polis diserang: Kekal tenang, beri kepercayaan kepada polis – Na’im

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak diminta bertenang dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan serangan Balai Polis di Ulu Tiram, Johor, awal pagi semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian jenayah itu perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Semua pihak dimohon bertenang dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa khususnya PDRM untuk membuat siasatan terperinci.

“Mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian jenayah ini perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau. Pada masa sama mengajak semua rakyat untuk memperkukuh keamanan negara dengan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) serta berpegang teguh kepada nilai-nilai rahmah dan ihsan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki ahli Jemaah Islamiah yang menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram pukul 2.54 pagi semalam.

Na’im berkata, pihaknya berasa amat dukacita dengan kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram itu.

“Mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Alllahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terlibat dengan kejadian yang amat menyedihkan ini.

“Semoga seluruh ahli keluarga bersabar serta dikurnia ketabahan yang tinggi berhadapan dengan ujian berat ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×