JOHOR BAHRU: Tujuh suspek termasuk seorang rakyat Singapura yang ditahan berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi semalam direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap semua suspek yang berusia antara 19 tahun hingga 62 tahun itu dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Samsudin.
Proses berkenaan dilakukan di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam, dekat sini dan bukannya di Mahkamah Majistret Johor Bahru seperti biasa dipercayai atas faktor keselamatan.
Antara yang direman ialah bapa kepada suspek yang maut ditembak dalam kejadian semalam, serta dua penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, Sulaiman Zamani dan Muhammad Zahier Rosli akan mewakili semua tertuduh, kecuali suspek warga Singapura.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, dua anggota polis maut akibat ditetak dan ditembak seorang suspek lelaki yang dipercayai merupakan ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Kejadian yang berlaku pada pukul 2.30 pagi itu turut mencederakan seorang lagi anggota iaitu Koperal Mohd. Hasif Roslan.
Suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun itu turut maut selepas ditembak polis dalam serangan berkenaan. – UTUSAN










