JOHOR BAHRU: Koperal Mohd. Hasif Roslan yang mengalami kecederaan akibat ditembak semasa serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal pagi semalam dalam keadaan stabil.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya berharap Mohd. Hasif tabah berdepan cabaran berkenaan yang merupakan sebahagian tugas anggota keselamatan.
“Alhamdulillah syukur, keadaan Koperal Hasif sudah stabil . Saya sempat beri kata-kata semangat dan sampaikan sedikit sumbangan kepada beliau dan juga isterinya tadi.
“Semoga Koperal Hasif terus kuat semangat dan mampu meneruskan tugas semula,” katanya ringkas selepas melawat anggota berkenaan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.
Yang hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar.
Semalam, media melaporkan Mohd. Hasif cedera ditembak suspek yang menyerang balai polis berkenaan sebelum dibawa ke Wad Kecemasan HSI untuk rawatan.
Dia kemudian dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya semakin stabil.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.30 pagi itu, dua anggota polis maut iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24.
Suspek yang berusia 21 tahun turut dilaporkan maut setelah ditembak anggota polis dalam kejadian berkenaan. – UTUSAN










