JOHOR BAHRU: Jenazah dua anggota polis yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini selesai disolatkan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, diberi penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing.
Solat jenazah diketuai oleh Imam Daerah Johor Bahru, Mohd. Nazri Ali disertai lebih 500 jemaah yang terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga.
Turut sama mendirikan solat jenazah ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Afandi Senin.
Jenazah kedua-dua anggota polis itu dibawa dari Hospital Sultan Ismail itu tiba di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil pada pukul 9.30 pagi.
Keranda mereka diselimuti dengan bendera Malaysia sebagai tanda penghormatan.
Terdahulu, dianggarkan lebih 200 warga PDRM Johor bersama ahli keluarga membacakan surah Yasin kepada dua anggota polis yang terkorban sebelum mendirikan solat jenazah.
Sebelum itu, Saifuddin Nasution meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk menyantuni Koperal Mohd. Hasif Roslan yang tercedera dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pagi semalam. – UTUSAN










