Anwar ke Qatar perkukuh kerjasama ekonomi, pendidikan dua negara

Anwar ke Qatar perkukuh kerjasama ekonomi, pendidikan dua negara

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Qatar bermula esok hingga 14 Mei ini atas jemputan Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani.

Lawatan sulung Perdana Menteri ke negara itu juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Qatar.

Menurut Kementerian Luar, selain diberikan sambutan rasmi, Perdana Menteri juga akan mengadakan kunjungan menghadap ke atas Sheikh Tamim.

“Lawatan ini juga akan melibatkan pertemuan dua hala di antara Anwar dengan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Qatar,

Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al-Thani.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala terutamanya mengenai kerjasama ekonomi dan pendidikan serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk konflik Palestin-Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra turut memaklumkan, Perdana Menteri juga akan menyertai Forum Ekonomi Qatar 2024 di Doha dan bertemu dengan kapten-kapten industri dan para pelabur dari Qatar sebagai usaha menarik pelaburan bagi inisiatif Ekonomi Madani.

Pada masa sama, beliau juga akan menghadiri pertemuan dengan diaspora Malaysia di Doha.

“Lawatan Rasmi ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam pelbagai aspek di antara Malaysia dan Qatar,” katanya.

Menurut Wisma Putra, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion (AS$ 303.9 juta) pada tiga bulan pertama tahun ini berbanding RM514.9 juta (AS$116.7 juta) untuk tempoh yang sama pada 2023.

Pada tahun 2023, Qatar merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×