Agensi pelancongan salah guna visa pelancongan, umrah dibatal lesen serta-merta

Agensi pelancongan salah guna visa pelancongan, umrah dibatal lesen serta-merta

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan membatalkan serta-merta lesen agensi pelancongan yang terlibat dengan sebarang penipuan atau  penyalahgunaan visa pelancong dan umrah bagi tujuan ibadah haji.

Menterinya, Tiong King Sing berkata, Ketua Setiausaha Roslan Abdul Rahman diarah menyiasat insiden bakal haji yang terkandas di Mekah kerana terpedaya dengan pakej umrah agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

“Tidak kira berita palsu atau sahih, kalau ada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini, lesen pelancongan mereka akan dibatalkan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pihak Tourism Malaysia juga bercadang untuk menyiasat perkara ini dan Motac sedang menunggu laporan penuh serta menghantar pegawai dari ibu pejabat untuk turun padang.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 300 bakal haji Malaysia yang kini di Mekah, terkandas apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, tindakan seperti ini bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, tetapi juga meletakkan keselamatan dan kepentingan jemaah dalam risiko di Arab Saudi.

Beliau meminta supaya tiada jemaah umrah mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk ke musim haji, kerana ia adalah satu kesalahan di bawah peraturan kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN