MUKADIMAH
Walaupun berdepan dengan dua pesaing ‘gergasi’ yang mempunyai akar umbi kukuh dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Nyau Ke Xin kekal yakin dapat memberikan cabaran tersendiri sebagai calon Bebas meskipun kemungkinan untuk hilang wang deposit itu ada.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ARIF AIMAN ASROL, beliau berkongsi visi, misi dan objektifnya di dalam pilihan raya tersebut.
Apakah perasaan apabila perlu bersaing dengan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang merupakan gergasi dalam politik?
PH dan PN sememangnya parti politik gergasi tetapi ini adalah sebuah negara berdemokarasi, saya percaya dengan ungkapan ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’. Saya memberanikan diri untuk bertanding demi kesejahteraan warga Kuala Kubu Baharu dan menyahut cabaran landskap politik di Malaysia.
Mengapa pilih untuk bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu?
Kerana saya ingin memulakan perubahan sosial ekonomi warga Kuala Kubu Baharu dengan menaik taraf empat sektor utama iaitu infrstruktur seperti permbangunan, pelancongan dan kemudahan asas. Kedua, dari segi pendidikan dengan mengatur semua sistem tuisyen percuma, melancarkan program kepimpinan anak muda dan program pencegahan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.
Selain itu, saya ingin mempromosikan pelbagai sukan untuk anak-anak muda jadi mereka perlukan infrastruktur, latihan, jurulatih bertauliah dan peralatan sukan yang akan saya pertingkatkan. Akhir sekali, saya ingin memastikan pembangunan belia dan warga emas dengan mewujudkan konsep ‘sharing and caring’, berinteraksi dan berkominikasi perbezaan pandangan kolektif sert mewujudkan integrasi pemahamaan agama, bahasa dan budaya. Mewujukan dewan serbaguna, perpustakaan dan gedung ilmu digital.
Adakah tidak takut untuk hilang wang deposit?
Saya langsung tidak gentar atau sedih dengan kehilangan wang deposit kerana saya percaya setiap kejayaan bermula daripada kegagalan.
Bagaimana dengan strategi yang akan digunakan untuk menarik pengundi?
Seperti yang saya katakan tadi, saya ingin melakukan suatu transformasi kemajuan di Kuala Kubu Baharu. Dari segi pembangunan dunia digital dan internet yang berkualiti tinggi serta laju masih tidak mencapai tahap asas di sini. Jika berada di luar kawasan dari bandar, tiada rangkaian telco. Adakah ini dipanggil sebagai pembangunan di Selangor?
Sekiranya menang dalam PRK Kuala Kubu Baharu, apakah yang ingin diperjuangkan?
Perjuangan saya menghadapi segala cabaran untuk membawa satu pembaharuan yang drastik untuk warga Kuala Kubu Baharu yang saya sayangi dan kasihi. Saya percaya warga di sini harus menikmati pembangunan selaras dengan kemajuan seperti di bandar-bandar metropolitan. Saya berjanji dan pasti akan melakukan segala pembaharuan yang saya ikrarkan tadi. Saya seorang graduan muda berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan masih bujang. Saya sanggup untuk Bekerja keras tanpa apa-apa halangan. – UTUSAN










