Wanita tempatan dinasihat elak kahwin warga asing - Utusan Malaysia

Wanita tempatan dinasihat elak kahwin warga asing

AZHAR ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Golongan wanita di Terengganu diingatkan supaya tidak mudah tergoda dengan pujuk rayu lelaki warga asing untuk berkahwin dengan mereka kerana bimbang memberi kesan negatif pada masa depan.

Ini kerana, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu mengesan terdapat lelaki warga asing berkahwin dengan wanita tempatan hanya bertujuan memudahkan mereka mendapatkan lesen perniagaan dan tinggal dalam tempoh yang dibenarkan di Malaysia.

Pengarahnya, Azhar Abd. Hamid berkata, wanita tempatan terlibat seolah-olah hanya dipergunakan lelaki warga asing untuk mencapai matlamat berniaga di Malaysia.

Menurutnya, walaupun kes terbabit agak terpencil di negeri ini, namun trend perkahwinan warga tempatan dan warga asing menunjukkan peningkatan setiap tahun.

“Oleh itu, nasihat jabatan, jangan mudah terpedaya dengan janji manis lelaki warga asing, ada prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi oleh pasangan nanti termasuk membuat permohonan pas pasangan kepada warganegara,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Azhar memberitahu, sebanyak 61 perkahwinan baharu dengan warga asing telah didaftarkan dan 192 pasangan pula memperbaharui pas pasangan kepada warganegara Malaysia sejak Januari hingga Mac tahun ini

“Daripada 61 perkahwinan baharu yang didaftarkan itu, 46 perkahwinan melibatkan perempuan warga asing yang mengahwini lelaki tempatan manakala 15 lagi ialah lelaki warga asing yang mengahwini perempuan tempatan.

“Antara kewarganegaraan tertinggi ialah Thailand, Indonesia dan Pakistan. Setakat ini, perempuan warga asing yang paling ramai berkahwin dengan lelaki tempatan ialah dari Thailand,” katanya.

Pada tahun 2023, sebanyak 925 perkahwinan dengan warga asing direkodkan dan daripada jumlah itu 73 adalah perkahwinan baharu manakala 852 lagi merupakan permohonan lanjutan pas pasangan.

“Pada tahun 2022 pula, sebanyak 243 perkahwinan baharu direkodkan manakala 1,095 permohonan lagi ialah lanjutan pas kepada pasangan warganegara Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN