Tunggakan gaji selesai, Kedah terus beri saingan dalam Liga Super - Utusan Malaysia

Tunggakan gaji selesai, Kedah terus beri saingan dalam Liga Super

KESEMUA pemain KDA FC musim lalu menerima tunggakan penuh gaji yang dijelaskan kelab sebelum tarikh akhir pada Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penyokong setia skuad Hijau Kuning boleh menarik nafas lega apabila Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan telah menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi musim 2023 untuk semua pemain dan pegawainya.

Pembayaran itu merangkumi pasukan utama Liga Super, KDA FC B (Piala MFL – Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden – Bawah 20 Tahun) dan KDA FC D.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA, Shahrul Samsudin berkata, kesemua tunggakan termasuk pembayaran kepada staf pentadbiran kelab dilakukan semalam.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak hujung tahun lepas dengan daya usaha semua terutamanya pemilik, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar yang tidak putus-putus mencipta ruang dan peluang serta mencari penyelesaian terbaik.

“Dengan selesainya isu tunggakan ini sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) iaitu 20 April, bermakna KDA FC telah memenuhi syarat seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Shahrul, KDA turut menghargai bantuan penyokong setia dan peminat Sang Kenari yang mengambil peluang disediakan untuk menyumbang kepada usaha-usaha yang dilancarkan sebelum ini.

Ujar beliau, sebagai sebuah kelab yang diswastakan sepenuhnya sejak penghujung 2020, kestabilan dan kelestarian kewangan adalah perkara penting dan mencabar untuk meneruskan kelangsungan operasi dalam kancah pertandingan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa.

“KDA FC memerlukan dana kewangan yang kukuh, stabil dan terjamin. Kami amat berharap kepada sokongan dan sumbangan berterusan daripada semua pemegang taruh industri bola sepak iaitu pihak penaja dan penyokong.

“Saya positif dengan perkembangan situasi terkini, KDA FC akan menumpukan pelaksanaan hala tuju dirancang untuk musim 2024/25 serta musim-musim mendatang dengan lebih tersusun, efektif dan jitu mengikut kerangka yang lebih efisyen,” katanya.

Sementara itu, KDA FC akan memulakan saingan kejohanan bola sepak tempatan dengan pasukan KDA FC C pada aksi Piala Presiden bermula 21 April ini diikuti KDA FC D pada 4 Mei dalam saingan Piala Belia.

Manakala pasukan Liga Super akan beraksi pada 11 Mei ini menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. KDA FC B pula akan beraksi dalam kejohanan Piala MFL bermula 21 Mei ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN