SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengutus ucapan takziah terhadap mangsa yang terlibat dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, pagi tadi.
Baginda yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM bertitah berasa amat dukacita dengan tragedi tersebut apabila berlaku ketika sambutan ulang tahun angkatan itu yang ke-90 dan ketika umat Islam masih meraikan Syawal.
“Pagi tadi Beta dikejutkan dengan insiden dua buah helikopter yang terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM di Pangkalan TLDM, Lumut. Beta difahamkan bahawa kesemua 10 orang kru yang juga anggota TLDM telah meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.
“Beta juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan keluarga anggota TLDM yang terkorban dan berharap semoga mereka tabah menghadapi dugaan itu,” titahnya, hari ini.
Sultan Sharafuddin menambah, baginda amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan anggota TLDM yang gugur semasa bertugas dan mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat-Nya dan bersemadi dengan aman.
“Sesungguhnya, itu adalah satu kehilangan besar kepada TLDM dan negara,” luah baginda.
Terdahulu, dua helikopter milik TLDM dilaporkan bertembung sebelum terhempas ketika sesi raptai sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 di Kem TLDM Lumut, Manjung.
TLDM mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan sebuah helikopter FENNEC miliknya terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan TLDM memaklumkan, insiden tersebut melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan sesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian. – UTUSAN










