RAUB: Pengawal peribadi yang parah terkena tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu, Muhammad Nur Hadith, 37, sempat memesan isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, agar tidak memaklumkan kejadian tersebut kepada ibunya kerana dibimbangi mengganggu emosinya.
Siti Hajar Hamid, 65, berkata, walaupun kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi, dia hanya dimaklumkan oleh ahli keluarga kira-kira pukul 7 pagi.
“Menantu sedia maklum kalau saya kejadian ini awal, mesti sara resah dan tak boleh tidur,” katanya di sini semalam.
Siti Hajar berkata, dia berdoa agar Muhammad Nur Hadith kembali sihat dan bekerja seperti biasa kerana isteri dan tiga cucunya bergantung harap kepadanya sebagai ketua keluarga.
Menurutnya, adalah diharapkan agar Siti Noraida kekal tenang dan dapat mengawal emosi dengan baik tambahan pula mereka bakal menimang cahaya mata baharu tidak lama lagi.
“Siti Noraida baharu sahaja disahkan mengandung anak keempat dan usia kandungan mencecah dua bulan.
“Anak sulung mereka pula dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) terlantar dan memerlukan penjagaan rapi. Jadi, saya berdoa agar menantu kembali sihat,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian ini turut memberi kesan trauma kepada keluarga besar mereka tambahan pula selepas pemergian arwah suami pada bulan Syawal 2022 akibat sakit jantung.
“Kali ini kegembiraan hari raya kami sekeluarga sekali lagi diragut dengan kejadian tembakan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN










