SEPANG: Sabah terputus hubungan udara ekoran kejadian letusan Gunung Berapi Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia sejak Rabu lalu yang menyebabkan beberapa syarikat penerbangan terpaksa membatalkan perjalanan demi keselamatan.
Letusan gunung berapi tersebut menyebabkan terbentuknya awan debu yang menjejaskan kawasan udara di Utara Sabah dan memberi risiko untuk melaksanakan operasi penerbangan.
Kira-kira 10,000 penumpang yang terjejas melibatkan 71 penerbangan akibat susulan letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia, kelmarin.
Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia semalam membatalkan semula beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur ke Sabah ekoran letusan Gunung Ruang di Indonesia.
Syarikat penerbangan tersebut sedang berusaha mengembalikan operasi seperti biasa selepas kejadian gunung berapi yang meletus itu.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, suasana di KLIA terkawal meskipun syarikat penerbangan AirAsia dan MAS masing-masing membatalkan semula penerbangan ke Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang.
Jumlah penumpang yang berada di Terminal 1 dan Terminal 2 tidak seramai semalam dan mereka kelihatan tenang menunggu pengumuman dari pihak penerbangan dari semasa ke semasa.
Ia berikutan tindakan pemakluman awal oleh syarikat penerbangan kepada penumpang terjejas yang disalurkan melalui sistem pesanan ringkas (sms) menerusi nombor telefon yang didaftarkan.
Rata-rata penumpang yang ditemui bagaimanapun enggan ditemubual, namun menyifatkan ia adalah di luar kawalan dan tindakan yang diambil pihak penerbangan adalah demi keselamatan penumpang serta kru ekoran bencana alam itu.
Dalam pada itu, hasrat seorang pemuda pulang berhari raya bersama keluarga di Putatan, Sabah terpaksa ditangguhkan berikutan penerbangan MAS dibatalkan ekoran letusan Gunung Ruang.
Seorang juruteknik, Mazlan Talib, 42, berkata, penerbangannya ke Kota Kinabalu dijadualkan pada 3.40 petang semalam, namun hanya dimaklumkan pihak syarikat penerbangan dua jam sebelum itu.
Dia yang baru mendapat ‘cuti raya’ kerana bertugas pada Aidilfitri lalu perlu menanggung rindu lagi terhadap anak-anak dan isteri yang menetap di Sabah.
Bagaimanapun, bapa kepada empat cahaya mata ini reda dengan apa yang berlaku kerana ia di luar kawalan ekoran bencana alam itu.
“Apa yang berlaku di luar jangkaan dan saya reda dengan keadaan ini. Kita pun faham MAS berusaha memberi perkhidmatan terbaik dengan sentiasa mengemas kini jadual penerbangan.
“Saya tidak sabar nak pulang bertemu keluarga kerana saya PJJ (perhubungan jarak jauh), isteri dan anak-anak di Sabah, saya bekerja di Kuala Lumpur,” katanya yang mengambil cuti dua minggu. – UTUSAN











