BESUT: Seorang pesara terkejut apabila melihat kediamannya di Kampung Pak Wong di Jerteh, di sini, hangus dijilat api sebaik pulang dari bazar Ramadan, petang tadi.
Mohamad Nadri Haris, 56, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, dia melihat api sedang marak dan bergegas menyelamatkan motosikal dan kereta yang diletakkan di hadapan rumah.
Menurutnya, dia dan isterinya, Zubidah Mamat, 50, mendiami rumah tersebut
hampir lapan tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, ketika kejadian isterinya tiada di rumah kerana masih di tempat kerja di Binjai Rendah, Marang,”
“Saya keluar rumah pada pukul 11 pagi tadi dan sebelum pulang saya singgah di Bazar Ramadan Kampung Kerandang untuk membeli juadah berbuka puasa, sebaik sampai di rumah dikejutkan dengan api yang sedang marak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, kebakaran itu turut memusnahkan semua persiapan raya yang telah dibuat sebelum ini termasuk biskut dan pakaian.
Katanya, meskipun masih terkejut dengan dugaan yang dihadapi namun dia reda dengan ujian tersebut.
“Memang sedih apabila semua persiapan untuk menyambut hari raya minggu hadapan musnah sekelip mata, tetapi saya juga bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerteh, Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 5.42 petang.
“SeramI 14 anggota termasuk pegawai dari
BBP Jerteh dan BBP Besut digerakkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal dan memadamkan api sepenuhnya,” katanya.
Mohamad berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN










