KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan meneruskan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung baki wang royalti atau wang ihsan yang sepatutnya diterima Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan semua ruang, peluang dan pendekatan yang ada untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cara yang berhemah.
Menurutnya, kerajaan negeri akan cuba bertemu dengan Perdana Menteri untuk membincangkan perkara tersebut demi kelancaran pentadbiran dan kesejahteraan rakyat Terengganu amnya.
“Kita optimis, sekurang-kurangnya kita cuba dulu menggunakan ruang yang ada, daripada situ kita akan tengok bagaimana respons daripada Kerajaan Persekutuan.
“InsyaAllah kita akan tangani perkara ini secara bersama oleh seluruh anggota pentadbiran dengan pelbagai cara dan pelbagai pendekatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, masih belum ada sebarang pertemuan berlangsung dengan Perdana Menteri selepas Kerajaan Pusat menyalurkan wang ihsan sebanyak RM172.3 juta kepada kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini.
“InsyaAllah, Perdana Menteri akan datang ke Terengganu untuk jamuan hari raya pada 9 Mei depan dan di kesempatan itu, kami akan berbincang mengenai perkara tersebut.
Pada 8 April lalu, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan wang ehsan RM172.3 juta kepada Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan.
Wang tersebut disalurkan untuk membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri selain bayaran RM103.1 juta untuk komitmen Kerajaan Negeri Terengganu kepada kontraktornya. – UTUSAN










