TEHERAN: Parlimen Iran mula membincangkan rang undang-undang berkaitan Selat Hormuz, kata Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Parlimen pada Selasa, ketika pertempuran kembali memuncak antara Washington dan Teheran berhubung laluan perairan strategik itu.
“Malam tadi, serentak dengan kejayaan menembak jatuh dron Amerika Syarikat (AS), rang undang-undang Tindakan Strategik bagi Keselamatan dan Kemajuan Mampan Selat Hormuz serta Teluk Parsi’ secara rasmi dibentangkan di Parlimen Iran,” tulis Ebrahim Azizi di platform X.
“Kami tetap bertegas mempertahankan garis merah kami, khususnya berhubung pengurusan Selat Hormuz.
“Ini hanyalah langkah pertama; tindakan susulan akan menyusul,” tambahnya.
Pertempuran antara AS dan Iran kembali tercetus minggu lalu susulan perbezaan pendapat mengenai cara laluan strategik itu akan diuruskan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap perjanjian rangka kerja yang ditandatangani bulan lalu bagi menamatkan perang di Asia Barat.
Teheran melihat dirinya sebagai pihak yang akan menyelia Selat Hormuz dan mahu mengenakan bayaran ke atas kapal yang melaluinya, satu tuntutan tolak keras oleh Washington.
Presiden Donald Trump pada Isnin berkata, negaranya sedang mengambil alih Selat Hormuz dan akan mengenakan semula sekatan ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran, selain mencadangkan bayaran sebanyak 20 peratus ke atas kargo yang melalui laluan perairan itu.
Iran pada Ahad mengumumkan Selat Hormuz ditutup tetapi membukanya semula kepada perkapalan ketika rundingan dengan AS bagi mencapai perjanjian muktamad untuk menamatkan perang secara kekal.- AFP










