Nigeria, Afrika Selatan bincang krisis antipendatang - Utusan Malaysia

Nigeria, Afrika Selatan bincang krisis antipendatang

SEJUMLAH penunjuk perasaan membantah imigran haram di Soweto, Afrika Selatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABUJA: Diplomat Nigeria dan Afrika Selatan mengadakan pertemuan kelmarin bagi membincangkan siri serangan terhadap warga asing, walaupun ketegangan masih jelas dirasai di sebalik layanan mesra yang dipamerkan kedua-dua pihak.

Sejak beberapa bulan lalu, Afrika Selatan menyaksikan bantahan, termasuk yang bertukar ganas.

Bantahan terhadap pendatang dari negara-negara Afrika itu berlaku kerana kedatangan warga asing sebagai punca peningkatan jenayah, pengangguran dan tekanan terhadap perkhidmatan awam.

Ketika pegawai kanan dari Abuja dan Pretoria bertemu di Kementerian Luar Nigeria, kedua-dua delegasi saling menyifatkan satu sama lain sebagai ‘saudara’ dan mengimbau sokongan Nigeria terhadap perjuangan menentang dasar aparteid di Afrika Selatan.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak turut mempertahankan pendirian masing-masing yang dilihat sukar mencapai kata sepakat.

Ini kerana delegasi Nigeria mengecam ‘tindakan bersekongkol’ pihak berkuasa Afrika Selatan terhadap bantahan itu.

“Kami mempunyai rekod rakyat Nigeria yang memiliki dokumen sah untuk tinggal di Afrika Selatan tetapi mereka tetap diserang.

“Kami juga menyaksikan tindakan kumpulan perusuh, manakala pihak polis hanya memerhati seolah-olah tidak berdaya menangani keadaan itu,” kata Timbalan Menteri Luar Nigeria, Sola Enikanolaiye, sebelum pertemuan diteruskan secara tertutup.

Polis Afrika Selatan memaklumkan sekurang-kurangnya empat warga asing terbunuh dalam serangan yang dikaitkan dengan bantahan antipendatang itu.

Namun, beberapa kerajaan Afrika yang membawa pulang rakyat masing-masing melaporkan angka korban lebih tinggi.

Menurut pengiraan AFP berdasarkan data kerajaan, lebih 160,000 individu telah meninggalkan Afrika Selatan, termasuk kira-kira 1,500 rakyat Nigeria. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN