Pemimpin G7 bincang perjanjian AS-Iran, Ukraine - Utusan Malaysia

Pemimpin G7 bincang perjanjian AS-Iran, Ukraine

EMMANUEL Macron (kiri) kini mempengerusikan mesyuarat sidang kemuncak G7. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EVIAN-LES-BAINS: Perbincangan mengenai langkah seterusnya berkaitan perjanjian Amerika Syarikat (AS)-Iran menjadi antara isu utama yang dibincangkan sepanjang sidang kemuncak pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) selepas kedua-dua negara meng­umumkan mencapai persetujuan awal untuk menamatkan perang.

Pemimpin G7 dijangka mahu mengetahui butiran lanjut me­ngenai perjanjian AS-Iran itu. 

Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut menerima kesan langsung daripada perang itu, serta pengantara utama iaitu Qatar dan Mesir juga turut menghadiri sidang kemuncak G7.

Sidang kemuncak yang berlangsung dari 15 hingga 17 Jun di pusat peranginan tepi tasik di Perancis itu turut bertujuan mencari titik persamaan me­ngenai perang di Ukraine, menangani ketidakseimbangan ekonomi global serta mendapatkan sumber mineral kritikal di luar China yang kini mendominasi bekalan dunia.

Presiden AS, Donald Trump turut menghadiri sidang tersebut di Evian-les-Bains untuk menghadiri pertemuan itu ketika ramai pemimpin dunia semakin berhati-hati terhadap AS. Namun, pegawai Perancis me­nyambut baik kehadiran Trump kali ini selepas beliau meninggalkan sidang kemuncak G7 di Kanada lebih awal tahun lalu.

Trump disambut Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang melihat sidang kemuncak ini sebagai pencapaian diplomatik penting bagi penggal kedua dan terakhir pentadbirannya.

Lapor Reuters, Trump dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin Asia Barat serta menghadiri sesi kerja bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sepanjang sidang kemuncak itu.

Walaupun Macron semakin dianggap sebagai pemimpin yang berpengaruh terhad dalam politik domestik Perancis, be­liau masih mempunyai pengaruh di pentas antarabangsa dan berjaya mendapatkan persetujuan Trump untuk menghadiri majlis makan malam rasmi di Palace of Versailles pada Rabu.

Macron turut menggunakan status pengerusi Perancis dalam G7 untuk menggesa tindakan terhadap ketidakseimbangan makroekonomi global, satu isu yang sekian lama menjadi kebimbangan AS. 

Perancis menyifatkan isu itu sebagai tanggungjawab bersama, dengan China menghasilkan lebihan pengeluaran, AS berbelanja secara berlebihan, manakala Eropah pula kurang melabur. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN