Pertikaian tarikh puasa, Aidilfitri tidak patut berlaku

Pertikaian tarikh puasa, Aidilfitri tidak patut berlaku

ROSLAN Umar membuat cerapan hilal Syawal di Balai Cerap ESERI UniSZA di Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Pertikaian mengenai tarikh hari pertama umat Islam berpuasa dan menyambut Aidilfitri tidak sepatutnya berlaku kerana pakar-pakar falak di Malaysia sering bermuzakarah dalam isu tersebut.

Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, pertikaian itu berlaku apabila terdapat individu tertentu membuat perbandingan tarikh tersebut dengan Arab Saudi sebagai rujukan mereka.

Menurutnya, proses penentuan tarikh hari pertama umat Islam berpuasa dan menyambut 1 Syawal telah dijalankan dengan sangat teliti oleh pakar-pakar falak di seluruh negara.

“Oleh itu, keputusan yang diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad baru-baru ini wajar dipatuhi dan dihormati semua pihak kerana ia telah dijalankan dengan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Umat Islam di Malaysia telah menyambut Aidilfitri pada Rabu lalu berdasarkan kedudukan bulan yang memenuhi kriteria ‘imkanur-rukyah’ dan menurut hitungan falak, ijtimak (bulan baharu) Syawal.

Bagaimanapun, baru-baru ini tular di laman sosial mengenai hantaran yang dimuat naik oleh seorang individu yang mahu menggenapkan puasa kepada 30 hari kerana anak bulan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Keputusan tersebut dibuat susulan penampakan bulan baharu itu dikatakan tidak jelas ekoran cuaca buruk dan awan tebal.

Bagaimanapun, hantaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi hingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia, adalah penting untuk meyakini pihak-pihak berwajib yang telah dipertanggungjawabkan dalam hal yang berkaitan dengan kepakaran masing-masing .

Katanya, orang awam yang berminat mengetahui prosedur operasi standard (SOP) berkenaan penentuan tarikh- tarikh dalam Islam boleh mendapatkan maklumat tersebut daripada pakar-pakar falak tersebut.

“UniSZA sendiri sangat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan mana-mana pihak, pertubuhan atau individu yang mahu mengikuti proses cerapan anak bulan di lokasi yang terlibat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN