KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah sebuah universiti awam didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan dokumen palsu melibatkan bayaran sewa kenderaan berjumlah RM6,600, enam tahun lalu.
Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Jasmi Hafiz Abdul Aziz, 47, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan pilihan. Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan pilihan, Jasmi Hafiz didakwa menggunakan tiga resit bagi bayaran sewa tiga jenis kenderaan antara 24 April 2018 dan 27 Januari 2019, berjumlah RM6,600 yang mana dia mempunyai sebab mengetahui bahawa kesemua dokumen berkenaan adalah palsu.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, antara 29 Mei 2018 dan 19 Februari 2019.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, enam lagi pertuduhan pilihan melibatkan dokumen palsu yang dihadapi Jasmi Hafiz dipertimbangkan (take into consideration) di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abd. Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin. –UTUSAN










