DAKWAAN bahawa profesor kita khususnya dan amnya ahli akademik, sebagai penakut untuk menegakkan kebenaran, lebih-lebih lagi dalam perkara yang ada kaitan dengan pengkhususan mereka, adalah benar.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada sejarah tanah air yang terang lagi bersuluh adalah bumi Melayu-Islam. Ia yang memang sebegitu secara umumnya tidak mahu ikut dipertegak mereka ini setelah mahu diputarbelitkan oleh pihak tertentu.
Sehubungan kebenaran ini, baik dari segi sejarah, politik, budaya dan lain-lain, hanya segelintir kecil profesor yang sanggup tampil ke hadapan untuk bukan sahaja menegas, juga mempertahan negara ini sebagai bumi Melayu-Islam.
Dengan hanya oleh segelintir kecil ini, ia memberi gambaran bahawa fakta bumi Melayu-Islam ini bukan sahaja tidak benar. Juga ia hanya dakwaan segelintir kecil itu selain adalah salah pula.
Sesungguhnya fakta bahawa negara ini, khususnya Semenanjung yang memang pun bumi Melayu-Islam pada sepanjang masa, yakni dahulu sehingga kini, bukan sahaja tidak seharusnya timbul langsung.
Juga diterima dengan seadanya, khususnya oleh etnik bukan Melayu yang didapati terus-terusan mahu mempertikai status kenegaraan ini.
Sebetulnya ramai juga dalam kalangan etnik Melayu sendiri yang bukan sahaja terkejut dengan fakta ini. Mereka juga mahu mempertikainya, malah ada yang ingin membantahnya. Ini kerana etnik Melayu ini sudah termakan dengan naratif bahawa Malaysia moden adalah negara majmuk.
Sehubungan kemajmukan ini pada Malaysia, ia benar pada kependudukannya sahaja. Secara terasnya, Malaysia adalah negara Melayu-Islam dahulu, kini dan selamanya.
Asas ini sebenarnya amat jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 memaktubkan agama Islam merupakan agama etnik bagi Orang Melayu adalah agama persekutuan di negara ini. Begitu juga dengan bahasa Melayu yang dimaktubkan sebagai bahasa negara pada Perkara 152.
Kedudukan istimewa etnik Melayu termaktub pada Perkara 153 untuk sebilangan hal. Manakala Perkara 181 tentang kedaulatan raja adalah bukti bahawa negara yang diperintah oleh Raja Melayu adalah bumi Melayu-Islam.
Untuk wilayah di Borneo, bumiputera bukan Melayu yang lebih menyerlah dari segi kependudukan daripada etnik Melayu, ikut dikenali sebagai Melayuan. Ini kerana mereka mempunyai banyak ciri Melayu. Ini adalah benar sekali dalam konteks Nusantara yang merupakan Alam Melayu.
Dengan ini, Dayak di Sarawak misalnya adalah Melayuan. Ia begini dalam pengertian warisan budaya peribuminya mempunyai banyak persamaan besar dengan yang Melayu dalam konteks Nusantara di mana etnik Melayu adalah kelompok definitifnya.
Kini melalui perkembangan politik negara setelah tertubuhnya Persekutuan Malaysia, etnisiti Melayu dan agama Islam ikut menjadi kriteria penting selain dominan dalam penentuan teraju pemerintahan Sabah dan Sarawak dalam konteks Ketua Wilayah dan Ketua Kerajaan.
Walaupun faktanya begitu jelas, ia yang mahu dimanipulasi oleh sesetengah pihak, secara umumnya tidak berani disanggah oleh etnik Melayu sendiri, baik golongan cendikia mahupun golongan marhaennya.
Ia kebanyakan masa dibiarkan terus wujud sebegitu bahawa teras negara ini adalah majmuk dan bukannya Melayu-Islam.
Ini antaranya kerana sifat budaya Melayu yang tidak suka membantah, apatah lagi bertelingkah. Melalui sifat ini, etnik Melayu termasuklah golongan cendekianya, dilihat, malah dianggap sebagai penakut, iaitu tidak berani untuk melawan.
Justeru terus dibuli secara agresif oleh pihak yang sengaja mahu memutarbelitkan kebenaran.
Sehubungan ini, ahli akademik yang memang mempunyai maklumat benar lagi sahih, rata-ratanya tidak mahu menyanggah perbuatan menegak benang basah oleh pihak tertentu itu.
Ini antaranya kerana mereka selain tidak berani, juga mahu menyelamat diri daripada diselar, kekadang dengan teruk sekali. Antaranya sebagai kangkung, yakni kiasan untuk tidak cerdik walaupun sebenarnya mereka cerdik, yakni memiliki pengetahuan benar dari segi kesahihannya.
Sebetulnya dengan berdiam diri, cendekiawan ini bukan sahaja mahu bersifat neutral. Juga mereka ini mahu mengelak risiko dalam mencetuskan kontroversi, dengan mengatakan negara ini adalah bumi Melayu-Islam, sedangkan itulah yang sebenar-benarnya.
Natijahnya, adakah cara begini boleh dianggap sebagai penakut. Dari satu segi, ia memang penakut. Ini kerana cendekiawan ini tidak berani menyanggah kebatilan, yakni kepalsuan bahawa Malaysia adalah negara majmuk dari segi terasnya.
Ketidakberanian ini antaranya disebabkan mereka bukan sahaja tidak mahu terjerumus ke dalam polemik. Juga tidak mahu menjadi sosok yang penuh dengan kontroversi. Dalam hal ini, mereka tidak mahu menjadi terkenal untuk sesuatu yang kontroversial, walaupun ia sama sekali tidak.
Dengan kata lain, mereka mahu menjaga reputasi agar selalu baik lagi tinggi menerusi perkara yang tidak kontroversial sifatnya.
Dari segi lain, ia tidak seharusnya begini, yakni menjadi penakut. Mereka hendaklah berani bersuara apabila terdapat kebatilan. Sehubungan bersuara secara terbuka untuk menegak kebenaran, ia kini dapat dilakukan dengan mudah lagi cepat di media sosial.
Natijah pentingnya ialah ahli akademik hendaklah ikut memberi pendidikan kepada masyarakat. Sudah tentu ia pendidikan sosial yang tidak bersifat seteknikal kuliah di universiti.
Dalam hal ini, harus diakui bahawa bukan semua ahli akademik mempunyai kemahiran untuk mempermudah perkara teknikal bagi pemahaman masyarakat umum.
Ini kerana apa-apa jua yang disampaikan ahli akademik, bukan sahaja berlatar, juga berlandaskan konsep akademik tertentu. Oleh itu, ia pasti penuh dengan pelbagai istilah dalam merungkai sesuatu itu. Dengan kata lain, ia rumit lagi rencam dan tidak mudah dilakukan oleh semua ahli akademik.
Apa-apa jua, ahli akademik selain mendidik di universiti, juga hendaklah mendidik masyarakat. Dalam perkataan lain, di samping menjadi ahli akademik di universiti, mereka juga hendaklah menjadi intelektual awam.
Sehubungan ini, ahli akademik hendaklah menghuraikan gagasan rumit lagi rencam, sama ada yang mereka punya sendiri mahupun pihak lain seperti pemerintah, untuk pemahaman khalayak yang luas.
Di samping untuk pemahaman, intelektual awam juga hendaklah memulakan, selain terlibat secara aktif dalam perdebatan awam tentang semua isu yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.
Perkara utama di sini ialah intelektual awam hendaklah bukan sahaja menyampai, juga menghubungkan pengetahuan khusus yang teknikal, dengan ehwal semasa dalam masyarakat dan negara.
Dengan kata lain, peranan penting pada intelektual awam ialah mereka hendaklah menyari perkara rumit lagi rencam yang selalunya hanya dibicara sebagai pengetahuan akademik semata-mata, ke dalam bentuk yang bukan sahaja mudah difahami. Juga yang senang dihayati oleh masyarakat umum.
Ini antaranya hendaklah dilakukan melalui rencana, forum, audio siar dan lain-lain yang seumpamanya. Dalam hal ini, kesemua ini yang bersifat penglibatan awam akan memperlihat ahli akademik dalam peranannya sebagai intelektual awam.
Untuk ini, mereka berbincang tentang ehwal semasa masyarakat dan negara, baik yang bersifat sosiobudaya, sosiopolirik mahupun sosioekonomi.
Seperkara penting tentang intelektual awam ialah mereka hendaklah memiliki jiwa mengkritik untuk mencabar norma, gagasan dan juga dasar yang sudah mapan dan mampan. Ini penting sebagai proses semak dan imbang untuk kebaikan semua pihak, khususnya masyarakat dan negara.
Ahli akademik yang bertindak sebagai intelektual awam hendaklah mempunyai satu tahap kebebasan, kalau boleh yang tinggi, untuk menyatakan sesuatu secara jujur, tanpa adanya apa-apa jua tekanan daripada atau sokongan untuk mana-mana pihak, khususnya pemerintah.
Dengan ini, mereka hendaklah berani mengambil pendirian untuk mengkritik pemerintah secara membina.
Jadi peranan utama mereka ialah mencerakin, mengulas, dan menyalurkan sentimen masyarakat atau tindakan dan dasar pemerintah. Begitu juga yang sebaliknya untuk mencabar sentimen, tindakan dan dasar itu.
Dalam hal peranan ini, sebaik-baiknya intelektual awam hendaklah mencabar sentimen masyarakat dan polisi awam.
Sehubungan ini, ia hendaklah dilakukan dengan keberanian untuk berbicara hal jelik secara ikhlas. Dalam hal ini, ia tidak boleh sesekali yang sebaliknya, iaitu mempositifkan perkara yang terang-terangan negatif.
Jika tidak berani, jalan tengah hendaklah diambil. Ia hanya mengharapkan sesuatu yang dianjurkan oleh mereka itu akan betul-betul berlaku nanti, walaupun agak sukar.
Sesungguhnya ahli akademik mempunyai amanah ilmu. Oleh itu, mereka hendaklah terus mendidik, bukan sahaja secara formal di universiti. Juga secara tidak formal menerusi pendidikan sosial kepada masyarakat. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










