SHAH ALAM: Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor menempelak kenyataan Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Adam Adli Abd. Halim yang mendakwa Ketua Pemuda Pas membangkitkan perkara berkaitan perkauman.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, sebaliknya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu dilihat takut dengan bayang-bayang sendiri apabila menuduh Perikatan Nasional (PN) seringkali mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman.
Menurutnya, tuduhan terhadap Afnan Hamimi Taib Azamuddin itu tidak berasas kerana PN kini mengkritik pentadbiran kerajaan, lebih-lebih dari aspek tatakelola yang diuar-uarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Kenyataan Ketua Pemuda PAS (Afnan Hamimi) langsung tidak membangkitkan soal perkauman, tetapi mempersoal tatakelola yang semakin ke laut. Hakikatnya, kerajaan Madani gagal dalam aspek pentadbiran.
“Namun, kerana takut terpaksa menelan realiti tersebut, PN pula dijadikan kambing hitam. Jika mahu dirungkai satu persatu kelemahan kerajaan hari ini, ia takkan berkesudahan kerana ‘penyakitnya’ begitu parah sekali,” katanya pada hari ini.
Tambah Mohamed Sukri, dia mengesyorkan Adam Adli menegur DAP yang selama ini mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan orang Islam dan Melayu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor berpandangan kenyataan Adam Adli adalah sebagai cubaan menarik perhatian pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
“Rakyat Kuala Kubu Baharu perlukan masa hadapan yang lebih baik, dan penyelesaian itu ada pada PN. Biarlah Kuala Kubu Baharu menjadi ‘kubur baharu’ buat PH-BN, dan kita talkinkan mereka bersama pada 12 Mei nanti,” tegasnya.
Semalam, Ketua AMK itu dilapor meminta Pemuda PAS dan PN untuk berkempen tanpa mengapi-apikan sentimen penduduk Kuala Kubu Bharu.
Ujar Adam Adli, pembangkang boleh mengkritik dasar yang dilaksanakan kerajaan serta isu ekonomi sama ada secara mikro atau makro. – UTUSAN










