KUALA LUMPUR: Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan Nur Aida Arifin hari ini bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mengarahkan pemindahan dana AS$1.03 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad kepada sebuah syarikat yang dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Syarikat yang dikatakan milik Jho Low atau nama penuhnya, Low Taek Jho ialah Good Star Limited.
Sebaliknya, arahan tersebut datang daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Operasi, Radhi Mohamad; bekas Pengarah Kewangan Terrence Geh Choh Heng; dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee.
Nur Aida yang juga saksi pendakwaan ke-49 itu bersetuju dengan cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin apabila dirujuk kepada beberapa dokumen membabitkan transaksi yang dilakukan di antara tahun 2009 and 2011.
Dana AS$1.03 bilion merupakan modal untuk projek usahasama 1MDB dan syarikat perkhidmatan serta pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd (PSI).
Dalam projek usahasama yang turut dikenali sebagai Projek Aria, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai manakala PSI pula melabur menerusi aset bernilai AS$2 bilion dan 1MDB bersetuju memberikan diskaun pada nilai AS$1.5 billion.
Bagaimanapun, usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta berpunca daripada pindahan dana yang dibuat 1MDB kepada Good Star sebelum dipindahkan kepada beberapa individu seperti Putera Faisal, Jho Low, Putera Turki dan juga Najib.
Menurut kes pendakwaan, pada September 2009, sebahagian dana berjumlah AS$700 iaitu daripada usaha sama itu dipindahkan kepada Good Star dan AS$330 juta lagi dipindahkan kepada syarikat luar pesisir pada Mei 2011. – UTUSAN









